Di pasaran Jepun, Honda CBR600RR serba baharu telah diperkenalkan pada tahun 2020 yang lalu. Model tersebut kemudiannya turut dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan April 2021, dengan harga asas sebanyak RM 98,888.00. Sementara itu pada bulan November 2023, Honda CBR600RR 2024 secara rasminya telah diperkenalkan semula di pasaran benua Eropah.
Terkini untuk pasaran Jepun, Honda CBR600RR 2024 turut diperkenalkan baru-baru ini, dengan dua pilihan warna menarik iaitu Grand Prix Red dan Matte Ballistic Black Metallic. Berbanding model sebelumnya, ianya kini telah dilengkapi dengan Quick Shifter sebagai ciri standard. Enjin dan sistem ekzosnya pula kini telah mematuhi piawaian emisi paling terkini di negara Jepun.
Honda CBR600RR 2024 kekal dikuasakan enjin 599cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, inline-4), kini dengan kuasa maksimum 121PS @ 14,250rpm dan tork 63Nm @ 11,500rpm. Enjin berprestasi tinggi itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Dengan tangki bahan api 18 liter, berat model sport bike tersebut berada pada angka 193 kg sahaja.