Honda CBR600RR 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM98,888.00

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. hari ini dengan rasminya melancarkan model Super Sport kelas pertengahan Honda CBR600RR 2021 untuk pasaran Malaysia. Harga asasnya ditetapkan sebanyak RM 98,888.00, dengan tempoh jaminan pengeluar selama 2 tahun atau 20,000 km. Model tersebut hanya tersedia dalam warna tunggal Grand Prix Red.

Honda CBR600RR 2021 mulanya dilancarkan secara rasmi di pasaran negara asalnya Jepun pada bulan September 2020 yang lalu, dan kemudiannya dilancarkan di pasaran lain seperti Australia, Thailand dan juga Indonesia. Untuk pasaran Eropah dan Amerika Utara, ianya tidak akan ditawarkan kerana tidak lagi memenuhi piawaian emisi terkini.

Honda CBR600RR 2021 dilengkapi enjin bersesaran 599cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC inline-4 with PGM-FI) dengan kuasa maksimum 121PS @ 14,000rpm dan tork puncak 64Nm @ 11,500rpm. Enjin itu dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch, termasuk sistem Quick Shifter sebagai ciri standardnya.

Sebagai sebuah model super sport terkini dan canggih, ianya dilengkapi winglet untuk tahap aerodinamik yang lebih baik, sistem Throttle By Wire, Honda Selectable Torque Control (HSTC), 5-axis Inertial Measurement Unit (IMU), 5 riding modes, 41mm inverted Showa Big Piston Fork with spring preload, HESD (Honda Electronic Steering Damper) dan kaliper brek radial depan berkembar 310 mm dengan sistem ABS dual channel.

Antara spesifikasi lain yang melengkapinya termasuklah Power Selector, Engine Brake, Wheelie Control, sistem lampu LED sepenuhnya, paparan instrumen digital TFT dengan ciri berwarna sepenuhnya, lampu keselamatan Emergency Stop Signal (ESS), tangki bahan api 18 liter, ketinggian tempat duduk 822 mm dan berat 194 kg (kerb weight).