Jualan Honda CBR600RR 2021 di pasaran domestik Jepun akan bermula pada 25hb. September 2020

Honda hari ini mengumumkan model terbaharu Honda CBR600RR 2021 bakal memulakan jualannya secara rasmi di pasaran domestik Jepun pada tarikh 25hb. September 2020. Pihak Honda tidak memberikan penjelasan lanjut berkenaan pasaran lain, bermakna buat masa ini ianya eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja.

Honda CBR600RR 2021 serba baharu dilengkapi enjin bersesaran 599cc (PC40E, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, inline-4), dengan hamburan kuasa maksimum yang mencecah 121PS @ 14,000rpm dan tork puncak 64Nm @ 11,500rpm. Enjin berprestasi tinggi itu kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.

Ciri-ciri utama yang diperkenalkan melalui model ini termasuklah unit penjana kuasa yang telah menerima rombakan baharu, bagi meningkatkan lagi prestasinya sehingga mampu menghamburkan kuasa maksimum mencapai angka 14,000rpm. Sistem penyejukan juga telah dipertingkatkan kecekapannya termasuk meliputi sistem ekzos.

Sistem dan teknologi kawalan elektronik canggih kini dibantu oleh unit IMU (Inertial Measurement Unit) untuk pengalaman tunggangan yang lebih menyeronokkan. Melalui gabungan data perwatakan motosikal dengan sistem ABS dan Honda Selectable Torque Control (HSTC), ianya bakal memberikan corak tunggangan yang lebih tepat.

Honda CBR600RR serba baharu juga dilengkapi sistem throttle-by-wire (TBW) untuk operasi pendikit yang lebih tepat dan pantas, di samping tersedia sistem riding modes yang menggabungkan tahap kawalan yang berbeza untuk Power Selector, HSTC, Wheelie Mitigation Control dan Selectable Engine Brake. Penunggang boleh memilih sendiri mod tunggangan yang dimahukan bergantung kepada situasi tunggangan.

Peningkatan prestasi aerodinamik diperolehi daripada pengalaman Honda di dalam aktiviti perlumbaan. Ini membolehkan Honda CBR600RR serba baharu menjana downforce melalui winglet yang dioptimumkan rekabentuknya, kedudukan dan sudut pemasangannya, yang seterusnya menyumbang kepada kestabilan motosikal ketika memasuki selekoh atau membelok ketika memecut pada kelajuan yang tinggi.

Antara kelengkapan lain yang didatangkan untuk Honda CBR600RR 2021 serba baharu ini termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, paparan instrumen digital TFT berwarna, sistem lampu kecemasan Emergency Stop Signal, Assist & Slipper Clutch, dan Quick Shifter yang dijual berasingan sebagai aksesori asli Honda. Keseluruhannya, berat Honda CBR600RR ini berada pada paras 194 kg (curb weight) sahaja.

Untuk pasaran domestik Jepun, Honda CBR600RR 2021 serba baharu hanya didatangkan dalam pilihan warna tunggal Grand Prix Red, iaitu skim warna Tri-Co yang mewakili teknologi perlumbaan Honda. Harga jualannya ditetapkan sebanyak 1,606,000 Yen, bersamaan nilai RM 63,490.34 mengikut kadar tukaran semasa.

(Visited 96 times, 1 visits today)