Pada November 2023, Yamaha telah memperkenalkan model skuter Yamaha Tricity 300 2024 untuk pasaran Jepun. Model tersebut kini telah mematuhi piawaian emisi terkini di Jepun, dan perubahan tersebut merupakan yang pertama sejak ianya dilancarkan pada September 2020.
Di samping itu, model skuter beroda tiga tersebut kini juga telah menerima tiga pilihan warna baharu iaitu Grayish Blue, Matte Beige dan Matte Gray. Untuk pasaran domestik Jepun, harga jualannya ditawarkan sebanyak 1,045,000.00 Yen, bersamaan RM 33,629.15 (kadar semasa).
Yamaha Tricity 300 2024 dikuasakan enjin Blue Core berkapasiti 292cc (single-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves). Enjin itu dipadankan dengan sistem transmisi automatik. Jumlah kuasa maksimumnya 29PS @ 7,250rpm dengan tork maksimum 29Nm @ 5,750rpm.
Melengkapkan spesifikasinya ialah lampu depan dan belakang LED, paparan instrumen digital LCD, Smart Key, kunci brek belakang, port pengecas 12V DC, ruang simpanan seluas kira-kira 45 liter di bawah tempat duduk, sistem brek ABS yang digandingkan dengan UBS (Unified Brake System), sistem Standing Assist, dan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 13 liter.
Yamaha Tricity 300 2024 seterusnya mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 795 mm. Beralih ke bahagian roda, ianya dilengkapi tayar tanpa tiub dalam siri 120/70-14 (depan) dan 140/70-14 (belakang). Berat model skuter yang mempunyai penampilan unik itu ialah 237 kg.