Yamaha Tricity 300 ABS 2020 diperkenalkan di pasaran Jepun

Model skuter tiga roda terbaharu Yamaha Tricity 300 pada mulanya diperkenalkan buat pertama kali di acara Tokyo Motor Show 2019 pada Oktober, dan kemudiannya pada penghujung tahun tersebut, ianya dilancarkan di pasaran Eropah. Kini pada Ogos yang lepas, Yamaha Tricity 300 ABS 2020 telah diperkenalkan untuk pasaran Jepun.

Menurut Yamaha, jualan untuk model tersebut di pasaran domestik Jepun akan bermula secara rasmi pada tarikh 30hb. September 2020 akan datang, dan ianya boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menarik. Harga jualannya ditetapkan sebanyak 957,000 Yen, bersamaan dengan nilai RM 37,376.38 mengikut kadar tukaran semasa.

Yamaha Tricity 300 ABS 2020 dikuasakan enjin Blue Core yang menawarkan prestasi bersama-sama ciri mesra alam, hadir dalam sesaran 292cc (single-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves) dan dipadankan transmisi automatik. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai 29PS @ 7,250rpm dengan tork puncak 29Nm @ 5,750rpm.

Model skuter yang menawarkan kemasan premium dan berkualiti itu seterusnya dilengkapi lampu depan dan belakang LED, paparan instrumen digital LCD dengan pelbagai info, sistem Smart Key, kunci brek belakang, port pengecasan 12V, ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk, sistem brek ABS yang digandingkan dengan UBS (Unified Brake System), dan termasuklah sistem Standing Assist.

Tangki bahan api Yamaha Tricity 300 ABS 2020 hadir dengan kapasiti maksimum 13 liter, sementara ketinggian tempat duduk 795 mm, ukuran jarak kelegaan bumi 130 mm dan beratnya ialah 237 kg. Beralih ke bahagian roda, ianya dilengkapi tayar tanpa tiub (tubeless) dalam siri 120/70-14M/C 55P (depan) dan 140/70-14M/C 62P (belakang).