Yamaha LEXi LX 155 2024 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bermula dari RM 7,581.41

Yamaha LEXi LX 155 2024 kini rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, dalam tiga varian iaitu Standard, S Version dan Connected / ABS. Bagi varian Standard dan S Version, masing-masing tampil dengan tiga pilihan warna, dan satu warna sahaja untuk varian Connected / ABS.

Harga jualan pula bermula dari Rp. 25,350,000 (RM 7,581.41) untuk varian Standard, dan diikuti Rp. 26,850,000 (RM 8,030.01) untuk varian S Version. Bagi varian teratas Connected / ABS yang didatangkan dengan spesifikasi lengkap, harganya ialah Rp. 29,900,000 (RM 8,942.17).

Yamaha LEXi LX 155 2024 merupakan sebuah model terbaharu yang menggantikan Yamaha Lexi generasi sebelumnya. Antara peningkatan paling signifikan ialah naik taraf enjin daripada 125cc kepada 155cc. Enjin Blue Core 155cc VVA dengan sistem transmisi automatik itu menghasilkan prestasi maksimum 15.15hp @ 8,000rpm dengan tork 14.2Nm @ 6,500rpm.

Dari segi reka bentuk, Yamaha LEXi LX 155 kini tampil lebih sporty dan moden. Antara ciri-ciri standardnya termasuklah tangki bahan api 4.2 liter, lampu depan dan belakang LED, Handlebar Switch Control rekaan baharu, panel meter digital LCD, brek depan cakera, brek belakang dram, saiz tayar depan dan belakang 90/90-14 dan 100/90-14, dan tinggi tempat duduk 770 mm.

Untuk kemudahan mengecas telefon bimbit dan gajet, turut tersedia ialah soket kuasa elektrik. Sementara itu bagi varian S Version dan Connected / ABS, kedua-duanya mempunyai spesifikasi tambahan iaitu Smart Key System, Stop & Start System dan Sub-Tank Suspension. Sistem brek ABS dan Y-Connect pula didatangkan eksklusif untuk varian Connected / ABS.

Yamaha LEXi LX 155 2024 mempunyai berat hanya 116 kg (Standard), 117 kg (S Version) dan 118 kg (Connected / ABS), menjadikan tunggangannya lebih mudah dan lincah. Untuk pasaran Indonesia, tempoh jaminannya ialah selama 5 tahun atau 50,000 km (terma dan syarat).