Pada bulan Oktober 2022 yang lalu, model kapcai Honda Wave 125i 2023 serba baharu secara rasminya dilancarkan di pasaran Thailand. Terkini model yang sama bagi musim 2024 telah pun dilancarkan baru-baru ini, dalam dua pilihan varian dengan beberapa pilihan warna terbaharu.
Bagi varian dengan rim berjejari, Honda Wave 125i 2024 ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Red dan Blue. Bagi varian dengan rim aloi pula, empat pilihan warnanya ialah Mat – Red, Gray, White – Blue dan Black – Red. Kedua-dua varian tersebut dilengkapi brek cakera depan.
Untuk pasaran Thailand, model kapcai serba moden itu masih menawarkan harga sama seperti sebelumnya, iaitu bermula dari THB 54,300, bersamaan nilai RM 7,289.86. Beralih ke bahagian enjin, ianya bersesaran 123.94cc (4-stroke, SOHC, PGM-FI) dengan transmisi empat kelajuan. Enjin baharu Honda Smart Engine itu mempunyai tahap ekonomi sehingga 71.4 km/l.
Ciri-ciri menarik lain termasuklah ianya dibina di atas kerangka baharu, mempunyai reka bentuk panel badan baharu yang lebih sporty, dilengkapi panel meter gabungan analog dan digital LCD, didatangkan dengan poket depan baharu di sebelah kiri, lampu belakang kini merupakan jenis LED (X-clusive LED Taillight), dan dilengkapi sistem suspensi depan dan belakang baharu.
Melengkapkan Honda Wave 125i 2024 ialah lampu depan LED, sistem kunci dengan penutup (key shutter) dan pembuka tempat duduk, ruang storan di bawah tempat duduk seluas 17 liter yang boleh memuatkan sebuah helmet bermuka penuh, dan tangki bahan api 5.4 liter. Saiz tayar depan dan belakangnya 70/90-17 dan 80/90-17, manakala ketinggian tempat duduk 769 mm.
Setakat ini berdasarkan maklumat yang ada, Honda Wave 125i generasi serba baharu ini buat masa ini hanya ditawarkan di pasaran Thailand. Pasaran Malaysia sehingga kini masih ditawarkan model yang dilancarkan pada tahun 2021, begitu juga dengan pasaran Vietnam.
Sumber gambar : superbikemag.com