KTM 890 SMT 2024 rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, terhad 8 unit, harga asas RM 101,800.00

KTM Malaysia pada kelmarin rasmi melancarkan model terbaharu KTM 890 SMT 2024. Model tersebut berada di dalam segmen supermoto tourer, dan ianya merupakan kesinambungan kepada model KTM 990 SMT yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada 11 tahun yang lalu.

Lebih menarik ialah Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang menerima pelancaran KTM 890 SMT. Menurut KTM Malaysia, hanya 8 unit sahaja yang ditawarkan, dan ianya merupakan unit CBU yang diimport dari Austria. Harga asasnya pula ditetapkan sebanyak RM 101,800.00.

KTM 890 SMT 2024 dikuasakan enjin LC8c bersesaran 889cc (2-cylinder, 4-stroke, parallel twin) dengan kuasa maksimum 105hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 100Nm @ 6,500rpm. Sistem transmisinya ialah enam kelajuan. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 15.8 liter.

Sistem suspensinya berjenama WP Apex (43 mm open cartridge upside-down forks at 180 mm of travel and same for the shock) dengan ciri boleh laras sepenuhnya. Sistem brek depan terdiri daripada cakera berkembar 320 mm dengan kaliper empat piston, dan brek cakera belakang 260 mm lengkap dengan kaliper dua piston. Sepasang rodanya pula mempunyai saiz 17 inci.

Tinggi tempat duduknya berada pada paras 860 mm. Spesifikasi standard lain pada jentera yang lincah dan agresif ini termasuklah tiga mod tunggangan iaitu Rain, Street dan Sport, Cornering Motorcycle Traction Control (MTC), Cornering ABS, Supermoto ABS, dan panel TFT 5.0 inci.

Spesifikasi pilihan turut ditawarkan untuk KTM 890 SMT 2024, seperti mod tunggangan Track, pemanas genggaman (heated grips), Motor Slip Regulation (MSR), QUICKSHIFTER+ dan juga sistem Cruise Control. Akhir sekali berat keringnya berada pada angka 194 kg sahaja.