Ducati baru-baru ini telah memperkenalkan model terbaharu Ducati Diavel for Bentley 2024, dalam edisi terhad 500 + 50 unit, yang diinspirasikan daripada model Bentley Batur.
Bentley Batur merupakan kereta versi pengeluaran Bentley yang paling berkuasa, dengan enjin W12 twin-turbo 740PS. Model buatan tangan itu hanya dikeluarkan sebanyak 18 unit sahaja.
Menurut Ducati, ini merupakan kolaborasi kali pertama mereka dengan Bentley. Selain daripada 500 unit yang tersedia, tambahan 50 unit lagi adalah eksklusif untuk pelanggan Bentley.
Ducati Diavel for Bentley diasaskan daripada model Ducati Diavel V4. Model tersebut dilengkapi enjin V4 Granturismo 1,158cc, dengan keluaran kuasa maksimum 168hp @ 10,750rpm.
Di pasaran Malaysia, Ducati Diavel V4 2023 telah dilancarkan dengan dua pilihan warna Ducati Red dan Thrilling Black, masing-masing pada harga RM 178,900.00 dan RM 181,900.00.
Ducati Diavel for Bentley 2024 ini dijangka akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia. Untuk anda yang berminat, mungkin boleh membuat tempahan awal melalui wakil pengedarnya.