Yamaha Indonesia Motor Mfg. (YIMM) pada kelmarin rasmi melancarkan model Yamaha Jupiter Z1 2024. Kali ini model kapcai tersebut telah menerima tiga pilihan warna baharu yang menyerlah iaitu Metallic Red, Metallic Cyan dan Metallic Black. Untuk pasaran Indonesia, Yamaha Jupiter Z1 ditawarkan dengan harga Rp. 19,790,000.00, bersamaan nilai RM 5,990.19 (kadar semasa).
Beralih ke bahagian spesifikasi, Yamaha Jupiter Z1 dilengkapi enjin bersesaran 115cc (Air cooled 4-stroke, SOHC) dengan kuasa 9.9hp @ 7,750rpm dan tork 9.8Nm @ 6,750rpm. Sistem transmisi yang dipadankan untuk enjin itu ialah empat kelajuan. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 4.1 liter. Saiz tayar depan dan belakangnya 70/90-17 dan 80/90-17, dan tinggi pelana 765 mm.
Sementara itu di pasaran Malaysia, model yang sama iaitu Yamaha Lagenda 115Z kini telah pun ditamatkan pengeluarannya, bagi memberi laluan kepada model baharu Yamaha EZ115. Setakat ini tidak pasti sampai bilakah Yamaha Jupiter Z1 akan ditawarkan di pasaran Indonesia. Mungkin tidak lama lagi ianya juga akan menerima nasib yang sama seperti Lagenda 115Z di Malaysia.
Sumber gambar : TMCBLOG.com