Model skuter maxi WMoto RT3S (N1) 2023 baru saja diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, kini tampil dengan dua ciri baharu yang menarik iaitu Dashboard Camera dan Adjustable Windshield. Ciri-ciri menarik yang lain pula termasuklah sistem kunci pintar, panel instrumen TFT dengan tiga pilihan paparan, sistem ABS Dual Channel, dan Tire Pressure Monitoring System (TPMS).
Model skuter tersebut juga dilengkapi sistem lampu LED dengan DRL, dua port pengecas USB, dan ruang storan yang luas di bawah tempat duduk. WMoto RT3S (N1) kemudiannya dikuasakan enjin bersesaran 247cc dengan padanan transmisi CVT. Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin berkenaan mencapai paras 23hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 22.5Nm @ 6,500rpm.
Kembali kepada ciri kamera di bahagian depan dan belakang, kamera tersebut dikatakan mampu merakamkan video berkualiti tinggi di sepanjang perjalanan. Dengan adanya kemudahan kamera perakam video yang eksklusif pada model WMoto RT3S (N1) 2023 ini, ianya boleh menjadi bukti tambahan penting sekiranya berlaku sebarang insiden atau kemalangan yang tidak terduga.
Di pasaran tempatan pada ketika ini, WMoto RT3S 2022 dilancarkan pada bulan Ogos 2022 yang lepas, dengan harga asas RM 17,888.00. Bagi versi N1 pula, harganya dijangka telah meningkat lebih tinggi. Berdasarkan maklumat di dalam Mudah.my, WMoto RT3S (N1) 2023 ini didatangkan dengan tanda harga sekitar RM 19,888.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.