Yamaha XMAX 250 2023 versi naik taraf terbaharu bakal dilancarkan di pasaran Malaysia

Maklumat terkini : Yamaha XMAX 250 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada esok hari, bertarikh 28hb. Julai 2023, jam 8.00 malam. Sumber dari Yamaha Big Bikes Malaysia FB.

Menurut sumber terkini, Yamaha XMAX 250 2023 versi naik taraf terbaharu bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Ianya akan menggantikan model sebelumnya Yamaha XMAX 250 2022, yang sebelum ini diperkenalkan pada bulan Ogos 2022, dengan dua pilihan warna baharu.

Antara bukti kukuh mengenai kehadiran Yamaha XMAX 250 2023 di pasaran tempatan dalam masa terdekat ini ialah paparan beberapa keping gambar spyshot model tersebut, yang dikatakan sedang ditunggang uji di jalan raya oleh pihak Hong Leong Yamaha Motor, berdekatan Rawang, Selangor.

Apabila dilancarkan nanti, model skuter berkenaan dijangkakan sama seperti model Yamaha XMAX 250 Connected  2023 di pasaran Indonesia, yang dilancarkan pada bulan November 2022 yang lalu. Untuk pasaran Indonesia, harga yang ditawarkan ialah sebanyak Rp. 66,000,000 (RM 20,019.42).

Antara ciri-ciri menarik yang akan ditawarkan oleh Yamaha XMAX 250 2023 untuk pasaran Malaysia nanti ialah gaya rekaannya yang kini tampil lebih sporty dan segar, dilengkapi panel TFT Infotainment Display yang boleh berhubung ke telefon pintar, dan paparan sistem navigasi Garmin Street Cross.

Spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain adalah seperti panel meter digital LCD yang terletak berasingan (di atas panel TFT Infotainment Display), sistem kunci pintar, soket pengecas telefon, handlebar dan windshield boleh laras, sistem brek ABS, Traction Control System, ruang simpanan seluas 44.9 liter di bawah tempat duduk, tangki bahan api 13 liter, dan tinggi tempat duduk pada paras 795 mm.

Yamaha XMAX 250 2023 seterusnya dilengkapi enjin Blue Core bersesaran 249.8cc (single cylinder, liquid cooled, 4-stroke, SOHC 4-valves) dengan padanan transmisi V-Belt Automatic. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 22.5hp @ 7,000rpm dengan tork maksimum 24.3Nm @ 5,500rpm.

Setakat ini, tarikh pelancaran rasmi Yamaha XMAX 250 2023 untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui. Namun ianya dijangka akan berlangsung dalam masa yang terdekat. Untuk yang berminat, tempahan kini boleh dibuat di mana-mana cawangan pengedar rasmi Yamaha yang berdekatan.