Modenas Elegan 250 EX 2023 kini dilancarkan, harga asas RM 16,997.00

Modenas (Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd.) pada hari ini dengan rasminya telah melancarkan model skuter Modenas Elegan 250 EX 2023 versi naik taraf terbaharu.

Tampil dengan dua pilihan warna menarik iaitu Matte Silver Crystal dan Petroleum Blue, harga jualan asas yang ditawarkan untuk model tersebut ialah sebanyak RM 16,997.00.

Harga yang ditetapkan itu tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan juga cukai jalan. Tempoh jaminannya ialah selama 2 tahun atau 20,000 km (yang mana sampai dahulu).

Terdapat dua naik taraf terbaharu pada model skuter tersebut. Pertama ialah enjin yang kini bertaraf Euro 4, dan kedua ialah ianya kini dilengkapi lampu depan versi baharu.

Menurut Modenas, enjin yang bertaraf Euro 4 kini menawarkan tahap penjimatan bahan api yang lebih baik, lebih mesra alam dan mengurangkan kesan-kesan pencemaran.

Enjin tersebut mempunyai kapasiti 249.1cc (4-stroke, 1-cylinder, 2-valves, SOHC) yang menjana prestasi maksimum 22.12hp @ 7,000rpm dengan tork 22.4Nm @ 6,500rpm.

Lampu depan projektor baharu pula kini tampil dengan gaya rekaan yang lebih moden, dengan ciri LED Daytime Running Light (DRL) yang jelas dapat dilihat sepanjang hari.

Selain itu, Modenas Elegan 250 EX 2023 juga masih mengekalkan ciri-ciri menarik lain yang diperkenalkan pada model generasi sebelumnya, untuk kemudahan pemiliknya.

Antara ciri-ciri menarik itu adalah seperti paparan meter kelajuan digital pelbagai fungsi, meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan penunjuk paras minyak petrol.

Satu lagi ciri yang sangat berguna ialah soket pengecas USB yang terletak pada posisi strategik, membolehkan penunggang mengecas telefon pintar ketika dalam perjalanan.

Untuk tahap keselamatan maksimum, Modenas Elegan 250 EX 2023 ini turut dilengkapi sistem brek cakera di roda depan dan belakangnya, lengkap dengan ABS dwi-saluran.