Pada penghujung tahun 2020 yang lalu, GPX dari Thailand dan SYM dari Taiwan telah menjalinkan kerjasama dengan memperkenalkan model skuter terbaharu GPX Drone.
Kini kedua-dua syarikat itu sekali lagi menjalinkan kerjasama, apabila memperkenalkan model skuter terbaharu GPX Tuscany 150 2023, yang khusus untuk pasaran Thailand.
Terdapat dua pilihan varian yang ditawarkan iaitu Standard dengan pilihan warna Gelato Green Mint dan Smoke Grey, dan varian premium Smart Key dengan lima pilihan warna iaitu Rubino Red, Gelato Green Mint, Smoke Grey, Daisy White dan juga Truffle Black.
GPX Tuscany 150 2023 bagi varian Standard ditawarkan dengan harga THB 59,900.00 (RM 7,699.35), dan untuk varian Smart Key sebanyak THB 63,700.00 (RM 8,187.79).
Untuk anda yang bertanyakan tentang perbezaan bagi kedua-dua varian, perbezaannya hanyalah melibatkan sistem kunci sahaja. Spesifikasi yang lain pula semuanya sama.
Di bahagian enjin, model skuter tersebut dikuasakan enjin berkapasiti 149.6cc (4-stroke, 1-cylinder, SOHC, 2-valve, air-cooled), dengan gandingan sistem transmisi jenis CVT.
GPX Tuscany 150 2023 seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar, dan sistem brek cakera depan dan belakang dengan sistem CBS.
Di bahagian roda, model skuter itu menggunakan tayar tanpa tiub berukuran 110/70-12 (depan) dan 120/70-12 (belakang). Tinggi tempat duduk berada pada paras 780 mm.
Spesifikasi menarik lain yang melengkapi GPX Tuscany 150 2023 adalah seperti sistem lampu LED, panel meter digital LCD, pengecas USB pantas, cangkuk barangan, tangki bahan api 5.7 liter, ruang storan di bawah tempat duduk 27 liter, dan juga emblem 3D.
Untuk pasaran Thailand, ianya tersedia dengan jaminan selama 3 tahun atau 30,000 km perjalanan. Untuk pasaran Malaysia, pasti menarik jika ianya turut dilancarkan nanti.