BMW M 1000 RR dan M 1000 RR M Competition 2023 diperkenalkan dengan winglet lebih besar, kelajuan maksimum 314 km/j

BMW Motorrad kini memperkenalkan BMW M 1000 RR 2023 dan BMW M 1000 RR M Competition 2023, kedua-duanya dibangunkan khusus untuk litar perlumbaan. Bagi versi standard M RR, skim warnanya ialah Lightwhite non-metallic, dan Blackstorm metallic untuk versi M Competition. Kedua-dua model tersebut dilengkapi enjin 999cc yang telah dipertingkatkan prestasi untuk perlumbaan.

Menurut BMW Motorrad, jumlah kuasa yang dihamburkan oleh enjin itu kekal pada paras 212hp @ 14,500rpm, dengan tork maksimum 113Nm @ 11,000rpm. Dengan peningkatan tahap aerodinamik, kelajuan maksimum M RR kini mencapai 314 km/j, berbanding 306 km/j pada model sebelumnya. Antara sebabnya ialah penggunaan M Winglet rekaan terbaharu dengan saiz yang kini lebih besar.

Selain itu turut direka semula ialah fairing dan bahagian depan model berkenaan, bersama-sama M Winglet, kesemuanya menggunakan material carbon fibre yang ringan. Selain itu buat pertama kali, M RR kini dilengkapi dengan mudguard depan carbon fibre terbaharu yang diintegrasikan bersama-sama brake ducts, bagi mengoptimumkan aliran udara di sekitar fork depan dan juga kaliper brek.

Lebih dari itu, M RR Competition mempunyai tahap rintangan angin yang lebih rendah, terutamanya pada kelajuan melebihi 250 km/j, apabila roda depannya dilengkapi dengan M Aero Wheel Covers. Perubahan lain termasuklah rim roda M Carbon dengan kemasan permukaan terbaharu yang lebih menarik, di samping rekaan grafik pita pelekat baharu M design pada rim yang kini lebih menyerlah.

Di bahagian seksyen belakang, rekaan terbaharunya kini menjadikan penampilan M RR kelihatan lebih ringan dan lebih sporty. Juga baharu ialah tempat duduk M Endurance dan pemegang nombor plat yang lebih pendek. Turut melengkapi ialah bateri M yang ringan, port pengecas USB belakang, paparan instrumen TFT 6.5 inci, lampu LED berkuasa, electronic cruise control dan heated grips.

Bagi M RR Competition, ianya mempunyai pakej tambahan seperti M GPS Laptrigger dengan kod pengaktifan, pakej komponen M milled dan M Carbon, swingarm natural anodised 220 gram lebih ringan berbanding versi standard, rantai M Endurance bersalut DLC yang bebas penyelenggaraan, dan juga pakej tempat duduk belakang dengan penutup (pillion package including hump cover).