Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini rasmi melancarkan model moped Yamaha Y16ZR 2023, yang kini tampil dengan tiga pilihan warna terbaharu Glacier White, Phantom Neon dan Flaming Silver. Sempena dengan itu, harga jualan asasnya kini telah meningkat kepada RM 11,118.00, berbanding harga asas RM 10,888.00 bagi model tahun 2021 (naik RM 230.00).
Setakat ini Yamaha Y16ZR 2023 masih mengekalkan spesifikasi yang sama, bermakna harapan untuk melihatnya dilengkapi sistem brek ABS masih belum menjadi kenyataan. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC, liquid-cooled) dengan teknologi VVA, dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.
Sebagai sebuah model moped berprestasi tinggi, kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai 17.7hp @ 9,500rpm, dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm. Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah tangki bahan api 5.4 liter, sistem kunci pintar, paparan meter digital dengan dasar gelap, lampu depan LED tinggi dan rendah yang berasingan, dan juga lampu belakang LED.
Yamaha Y16ZR 2023 seterusnya dilengkapi penarik tuas klac yang lebih pendek, suis pemati enjin, suis lampu memotong (passing light), brek cakera depan dengan kaliper 2-pot, tayar depan dan belakang yang masing-masing berukuran 90/80-R17 dan 120/70-R17, soket pengecas 12V DC, dan rantai pemacu yang kini tahan lebih lama serta beroperasi dengan lebih lancar.
Dengan setiap pembeliannya, HLYM turut menawarkan kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma. Sementara itu di pasaran Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA Limited Edition 2022 telah diperkenalkan dalam bulan September 2022 yang lepas. Pada pendapat anda, skim warna yang manakah lebih menarik jika dibandingkan antara kedua-dua model tersebut?
Sumber gambar : paultan.org