Model skuter terbaharu yang ditunggu-tunggu Honda Vario 160 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan November depan. Setakat ini Boon Siew Honda telah menyiarkan imej teaser terkini mengenai model tersebut, termasuk pamerannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini, bersempena dengan acara perlumbaan berprestij MotoGP Malaysia 2022.
Di pasaran Malaysia pada ketika ini, Honda Vario 150 dijual dengan harga asas sebanyak RM 7,499.00. Bagi model terbaharu Honda Vario 160 yang kini tampil dengan gaya rekaan terbaharu, enjin yang lebih besar dan lebih berkuasa, serta pelbagai ciri-ciri terkini yang lebih canggih dan moden, sudah tentu harga jualan asasnya nanti akan meningkat ke paras yang lebih tinggi.
Jadi untuk melihat jangkaan harga jualan asas Honda Vario 160 2023 di pasaran Malaysia, kita perlu melihat harga jualannya di pasaran negara-negara jiran seperti di pasaran Indonesia, Thailand dan juga Filipina. Untuk pasaran Thailand dan Filipina, Honda Vario 160 dikenali dengan nama Honda Click 160. Berikut ialah harga jualannya di tiga buah negara berkenaan :
- 2022 Honda Vario 160 ABS (Indonesia) : Rp. 28,500,000 (RM 8,647.41)
- 2022 Honda Click 160 ABS (Thailand) : THB 69,900 (RM 8,750.72)
- 2022 Honda Click 160 CBS (Filipina) : ₱ 116,900 (RM 9,440.12)
Untuk makluman, Honda Click 160 di pasaran Filipina hanya ditawarkan dalam varian CBS tanpa pilihan varian ABS, namun harga jualannya boleh dikatakan agak tinggi. Untuk pasaran Malaysia nanti, dijangkakan pihak Boon Siew Honda hanya akan menawarkan model skuter tersebut dalam varian ABS sahaja, termasuklah dengan spesifikasi dan ciri-ciri lain yang serba lengkap.
Jadi berdasarkan senarai harga seperti di atas, bolehlah dikatakan anggaran harga jualan asas untuk Honda Vario 160 2023 di pasaran Malaysia nanti akan berada di antara RM 8,500.00 sehingga RM 9,000.00 sahaja. Sebagai perbandingan, Yamaha NVX 2022 di pasaran Malaysia ditawarkan dengan harga asas RM 9,598.00 (Standard) dan RM 11,498.00 (ABS).
Bagaimanapun untuk maklumat tepat, kita nantikan pelancaran rasmi Honda Vario 160 2023 untuk pasaran Malaysia, yang bakal berlangsung dalam bulan November 2022 akan datang. Sebelum itu, anda boleh saksikan dahulu paparan gambar-gambar menarik model skuter tersebut dalam paparan galeri di bawah, bagi model yang ketika ini dijual di pasaran Indonesia.