Pasaran Vietnam sebelum ini telah menerima kehadiran model moped Suzuki Raider R150 2023, dengan kemaskini tiga pilihan warna terbaharu yang lebih sporty dan segar. Kemudiannya baru-baru ini pula model yang sama namun hanya berlainan nama iaitu Suzuki Satria F150 2023, turut diperkenalkan dengan skim warna terbaharu Blue GP yang kelihatan lebih menyerlah.
Untuk pasaran Vietnam, Suzuki Satria F150 2023 dalam skim warna Blue GP itu ditawarkan dengan harga jualan sebanyak VND 53,490,000, bersamaan nilai RM 10,196.58 mengikut kadar semasa. Selain itu, dua pilihan warna terdahulu White / Red / Black dan Black / Red yang diperkenalkan untuk Suzuki Satria F150 2022, masih lagi ditawarkan di pasaran negara tersebut.
Sama seperti Suzuki Raider R150 2023, Suzuki Satria F150 untuk musim 2023 ini masih kekal dikuasakan enjin bersesaran 147.3cc (Liquid Cooled, DOHC, 4 Valves, Fuel Injection) dengan gandingan sistem transmisi enam kelajuan. Jumlah janaan kuasa maksimumnya mencapai angka 18.5hp @ 10,000rpm, dengan tork maksimum yang mencecah paras 13.8Nm @ 8,500rpm.
Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Raider R150 dalam skim warna terbaharu Blue GP yang sama baru-baru ini telah dipamerkan di tapak pameran Suzuki di Litar Antabangsa Sepang (SIC), bersempena penganjuran acara MotoGP Malaysia 2022. Menurut sumber, Suzuki Raider R150 2023 dengan warna Blue GP itu akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada awal tahun depan.