QJ Motor SRK250 2022 kini di pasaran Malaysia, harga asas RM 16,888.00

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. pada beberapa hari yang lepas dengan rasminya melancarkan model naked terbaharu QJ Motor SRK250 2022 untuk pasaran Malaysia. Tampil dengan tiga pilihan warna menarik Hitam, Biru dan Merah, harga jualan asas yang ditawarkan untuk model berkenaan ialah RM 16,888.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

QJ Motor SRK250 dikuasakan enjin yang sama seperti mana model SRK250RR, iaitu bersesaran 249cc (liquid-cooled, 2-cylinder inline, 4-stroke, 8-valves, DOHC) dengan gandingan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 31.5hp @ 11,000rpm, dengan tork maksimum 21.2Nm @ 9,000rpm.

Selain tampil dengan reka bentuk sporty, SRK250 turut dilengkapi ciri-ciri menarik seperti sistem lampu LED, paparan panel meter digital LCD, tangki bahan api 14 liter, fork depan USD, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan berkembar 260 mm dengan ABS, brek cakera belakang 240 mm dengan ABS, ketinggian tempat duduk 785 mm, dan berat hanya 176 kg.

QJ Motor SRK250 menggunakan tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 110/70-R17 dan 150/60-R17. Menurut MForce dengan setiap pembelian SRK250, para pembeli ditawarkan jaminan pengeluar selama tempoh dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), dan juga perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara di dalam talian.