Suzuki Address 125 2023 diperkenalkan untuk pasaran Eropah, tampil dengan gaya retro moden yang menawan

Suzuki baru-baru ini rasmi memperkenalkan model skuter terbaharu Suzuki Address 125 2023 untuk pasaran Eropah. Model tersebut kini tampil dengan gaya rekaan retro moden, bersama-sama sentuhan krom yang menawan dan elegan, lampu depan berbentuk lengkung dan bulat daripada jenis LED sepenuhnya, dan enjin yang kini mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Ianya juga dilengkapi tempat duduk yang mewah, panel meter jenis analog bersaiz besar dengan paparan digital, dan disertai paparan iluminasi Suzuki Eco Drive yang membantu penunggangnya untuk mencapai tahap ekonomi tertinggi. Dengan enjin 124cc (four-stroke, single-cylinder, air-cooled, SOHC) dan sistem transmisi CVT, kuasa yang dihasilkannya mencapai 8.7PS @ 6,750rpm dengan tork 10Nm @ 5,500rpm. Kapasiti penuh tangki bahan apinya pula ialah 5.0 liter.

Menurut Suzuki, enjin terbaharu itu dilengkapi teknologi SEP (Suzuki Eco Performance) yang menawarkan keseimbangan di antara prestasi dan ekonomi bahan api. Suzuki Address 125 2023 seterusnya dilengkapi sistem penghidup Suzuki Easy Start System, serta sistem kunci yang lebih selamat dengan penutup dan juga dengan kemudahan pembuka tempat duduk.

Di bawah tempat duduknya tersedia ruang storan seluas 21.8 liter dengan dua pencangkok utiliti, dan poket storan depannya dilengkapi dengan soket USB untuk kemudahan mengecas telefon. Model skuter itu turut mempunyai lantai kaki yang rata dan luas, dan tempat duduk yang empuk untuk keselesaan terbaik, sama ada untuk penunggang mahu pun pembonceng.

Kuasa pemberhentian ditugaskan kepada brek cakera depan 190 mm dan brek dram belakang 120 mm, manakala sistem brek gabungan memberikan prestasi brek yang stabil bagi kedua-dua roda depan dan belakang. Tayar depan dan belakangnya hadir dalam saiz 90/90-12 dan 90/100-12. Tinggi tempat duduk Address 125 ialah 770 mm, manakala beratnya hanyalah 105 kg.

Selain daripada berat yang ringan, jarak roda yang pendek dan rekaan badan yang ramping turut menyumbang kepada corak tunggangan yang mudah dan lincah untuk model skuter tersebut, terutamanya di kawasan bandar. Suzuki Address 125 2023 mempunyai tiga pilihan warna menarik iaitu Metallic Dark Greenish Blue, Metallic Matt Bordeaux Red dan Pearl Mirage White.