Dalam bulan Ogos 2022 yang lepas, Yamaha Motor Thailand telah melancarkan model terbaharu Yamaha SR400 Black Gold Limited Edition 2022, dalam edisi terhad 400 unit sahaja. Untuk pasaran Thailand, model itu boleh dimiliki dengan harga jualan sebanyak THB 309,000.00, bersamaan nilai RM 38,380.20 mengikut kadar mata wang semasa.
Yamaha SR400 mula diperkenalkan sejak tahun 1978 yang lalu, dan usianya kini telah mencapai 44 tahun (1978 – 2022). Apa yang menariknya ialah reka bentuk model yang bergaya klasik itu sehingga kini masih sama seperti mana model keluaran pertamanya. Malah untuk versi Black Gold ini, warnanya mirip Yamaha SR400 keluaran tahun 1978.
Yamaha SR400 Black Gold Limited Edition 2022 dikuasakan enjin bersesaran 399cc (4-stroke, single cylinder, air cooled, SOHC, 2-vlaves) dengan kuasa maksimum 23.2PS @ 6,500rpm dan tork 27.4Nm @ 3,000rpm. Enjin itu kini telah menggunakan teknologi fuel injection berbanding karburetor, namun masih mengekalkan penghidup jenis tendang. Sistem transmisinya ialah lima kelajuan, manakala tangki bahan apinya ialah 12.0 liter.
Melengkapkan lagi spesifikasi Yamaha SR400 ini ialah fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, brek cakera depan, brek dram belakang, tinggi tempat duduk 785 mm, tayar depan 90/100-18, tayar belakang 110/90-18, dan berat 174 kg (wet weight). Untuk pasaran Malaysia, sayangnya model yang menarik seperti ini tidak ditawarkan.
Artikel berkaitan :