Yamaha Exciter 155 VVA Limited Edition 2022 diperkenalkan di pasaran Vietnam, harga RM 9,948.67

Model moped popular Yamaha Exciter 155 VVA Limited Edition 2022 kini diperkenalkan di pasaran Vietnam, tampil dengan empat pilihan warna terbaharu yang lebih segar dan sporty. Harga jualan yang ditawarkan untuk model tersebut pula adalah sebanyak VND 51,990,000.00, bersamaan nilai RM 9,948.67 berdasarkan kadar mata wang semasa.

Spesifikasi teknikal bagaimanapun masih sama seperti model sebelumnya, termasuklah masih belum dilengkapi sistem brek ABS. Di pasaran Vietnam pada ketika ini, Yamaha Exciter 155 VVA boleh didapati dengan pelbagai pilihan warna yang menarik, sama ada dalam versi Standard, Premium, GP, Monster Energy, Limited dan termasuk 60th WGP.

Imbas kembali sistem penjana kuasanya, Yamaha Exciter 155 VVA ini dikuasakan enjin dalam sesaran 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC, liquid-cooled) dengan teknologi VVA, transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, dan kuasa maksimum yang mencapai paras 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork setinggi 14.4Nm @ 8,000rpm.

Menyempurnakan lagi model moped idaman ramai ini ialah lampu depan dan belakang LED, lampu DRL, paparan panel meter digital LCD, suis pemati enjin, suis lampu untuk memotong (passing light), brek cakera depan dua piston, Smart Key yang canggih dan soket pengecas 12V untuk kemudahan mengecas telefon bimbit pada bila-bila masa.