Pasaran Eropah baru-baru ini bukan saja menerima kehadiran model Kawasaki Ninja 125 2023, malah ianya juga termasuk model Kawasaki Z125 2023. Namun berbanding versi pada tahun lepas, Z125 2023 kini hanya didatangkan dengan dua pilihan skim warna terbaharu iaitu Pearl Storm Gray dan Candy Lime Green/Metallic Spark Black.
Spesifikasi teknikal masih kekal sama tanpa sebarang naik taraf terkini, antaranya ialah dilengkapi enjin 125cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4 valves) dengan transmisi enam kelajuan yang lancar. Prestasi maksimum yang dihasilkan oleh enjin pada model naked itu mencapai paras maksimum 15PS @ 10,000rpm, dengan tork 11.7Nm @ 7,700rpm.
Sebagai sebuah jentera naked yang lincah, Kawasaki Z125 menawarkan pengendalian dan tahap kawalan yang cemerlang sewaktu tunggangan, yang disumbangkan oleh fork depan teleskopik berdiameter 37 mm dengan suspensi belakang monoshock (Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload) yang menawarkan ciri pelarasan prabeban.
Untuk tahap keselamatan maksimum, model naked berkenaan didatangkan sistem brek cakera depan 290 mm dengan kaliper dua piston, lengkap dengan ABS. Pada bahagian belakang pula ialah brek cakera 220 mm, juga dilengkapi kaliper dengan dua piston. Di bahagian roda, ianya dibekalkan sepasang tayar dalam siri 100/80-17 dan 130/70-17.
Kawasaki Z125 2023 seterusnya tampil dengan paparan instrumen digital sepenuhnya yang serba moden, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 11 liter, pilihan tempat duduk ERGO-FIT Low Seat untuk lebih keselesaan, tinggi tempat duduk standard 815 mm, rekaan ekor belakang yang tajam dan sporty, dan berat hanya 147 kg (curb mass).
Di pasaran UK, Kawasaki Z125 2023 ditawarkan dengan harga bermula dari £ 4,299.00 (RM 22,322.99) untuk pilihan warna Candy Lime Green/Metallic Spark Black, manakala untuk pilihan warna Pearl Storm Gray, harganya ialah £ 4,399.00 (RM 22,842.25). Bagi peminat motosikal ini di pasaran Malaysia, pilihan terbaik ialah Modenas Z250 2022.