Di pasaran Eropah, atau secara khususnya di pasaran UK, para peminat motosikal dua lejang kini boleh memiliki model terbaharu Langen Two Stroke, dikeluarkan oleh Langen Motorcycles, yang berpengkalan di Wigan, United Kingdom. Model bergaya retro dalam segmen cafe racer itu bagaimanapun hanya dikeluarkan dalam edisi terhad 100 unit.
Langen Two Stroke ini secara rasminya diperkenalkan kepada umum pada pertengahan tahun lepas. Model buatan tangan itu ditawarkan dengan harga £28,000.00, bersamaan nilai RM 145,643.89 mengikut kadar mata wang semasa. Dengan harga jualan setinggi itu, tentu ramai yang tertanya-tanya apakah rasionalnya untuk memiliki model tersebut.
Sebenarnya pada zaman dan era ini, motosikal dua lejang keluaran terbaharu tidak lagi dibenarkan berada di atas jalan raya. Ini kerana motosikal dua lejang tidak mampu lagi mematuhi piawaian emisi terkini yang semakin ketat, di samping menjadi penyumbang kepada pencemaran bunyi. Kesimpulannya, motosikal dua lejang telah diharamkan.
Jadi bagaimana Langen Two Stroke ini boleh dijual di pasaran Eropah, dan ianya boleh ditunggang di jalan raya secara sah (officially confirmed as road legal)?. Menggunakan teknologi terkini, Langen Two Stroke telah berjaya mematuhi piawaian emisi di pasaran UK, juga di pasaran Eropah, membolehkannya ditunggang secara sah di jalan raya.
Oleh itu pengeluaran kembali motosikal dengan enjin dua lejang seperti model Langen Two Stroke ini, sekurang-kurangnya boleh menjadi pilihan terkini kepada peminat tegar yang masih mahukan jentera dua lejang untuk tunggangan harian, walaupun membayar harga yang tinggi. Situasinya sama seperti peminat Yamaha RX-Z di pasaran Malaysia.
Kita imbas kembali spesifikasi teknikal Langen Two Stroke. Enjinnya dikatakan berasal dari Vins Motors, bersesaran 249.5cc (90º V-twin) dengan hamburan maksimum 76hp @ 11,700rpm dan tork 45Nm @ 11,700rpm. Enjin yang berprestasi tinggi itu dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api canggih, dan dipadankan transmisi enam kelajuan.
Selain dari enjinnya yang berkuasa, Langen Two Stroke ini turut mempunyai kelebihan dari segi beratnya. Dengan kerangka aluminium dan penggunaan material jenis gentian karbon yang ringan, berat jentera cafe racer tersebut hanya 120 kg sahaja, dan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 225 km/j yang pastinya lebih dari mencukupi.
Sistem suspensi pada Langen Two Stroke kemudiannya telah disempurnakan oleh fork depan Ohlins 43 mm, sementara di bahagian belakangnya ialah dua penyerap hentak pesanan khas Ktech Piggyback Razors. Brek cakera berkembar di bahagian depan 320 mm seterusnya digandingkan bersama-sama cakera belakang 265 mm, dari Brembo.
Spesifikasi Langen Two Stroke yang lain termasuklah sistem penghidup elektrik, sistem lampu LED dan rim berjejari dengan tayar tanpa tiub Dunlop Classic TT100 GP Radial, masing-masing didatangkan dengan saiz 120/70-17 (depan) dan 150/70-17 (belakang). Setakat ini, Langen Two Stroke masih boleh ditempah melalui laman web rasminya.
Di pasaran Malaysia seperti mana yang kita tahu, para peminat tegar jentera dua lejang Yamaha R-XZ sanggup berhabisan sehingga puluhan dan mungkin ratusan ribu ringgit, semata-mata untuk memiliki sebuah model motosikal terpakai. Sangat menarik jika ada di antara peminat itu yang membuat keputusan untuk membeli Langen Two Stroke ini.