Kawasaki Z125 2022 terima kemaskini skim warna baharu di pasaran Eropah, harga bermula dari RM 22,202.10

Sejak tahun 2019 yang lalu, Kawasaki Motor Europe telah memperkenalkan dua model terbaharu untuk pasaran Eropah dengan kelengkapan enjin 125cc iaitu Kawasaki Ninja 125 dan Kawasaki Z125. Ketika ini, Kawasaki Ninja 125 2022 baru saja diperkenalkan dengan pilihan warna terbaharu, begitu juga dengan model Kawasaki Z125 2022.

Tiga pilihan warna terbaharu bagi musim 2022 untuk model naked Kawasaki Z125 ialah Metallic Flat Spark Black, Pearl Flat Stardust White / Metallic Spark Black dan Candy Lime Green / Metallic Spark Black. Ketiga-tiga pilihan skim warna terbaharu berkenaan yang turut tampil dengan jalur grafik rekaan baharu kelihatan begitu sporty dan segar.

Di bahagian teknikal, Kawasaki Z125 dilengkapi enjin bersesaran 125cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4 valves) dengan sistem suntikan bahan api, sistem penghidup elektrik dan transmisi enam kelajuan yang lancar. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin  berprestasi itu mencapai paras 15PS @ 10,000rpm dengan tork 11.7Nm @ 7,700rpm.

Sebagai sebuah jentera naked yang lincah, Kawasaki Z125 menawarkan pengendalian dan tahap kawalan yang cemerlang sewaktu tunggangan, yang disumbangkan oleh fork depan teleskopik berdiameter 37 mm dengan suspensi belakang monoshock (Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload) yang menawarkan ciri pelarasan prabeban.

Untuk tahap keselamatan maksimum, model naked berkenaan didatangkan sistem brek cakera depan 290 mm dengan kaliper dua piston, lengkap dengan ABS. Pada bahagian belakang pula ialah brek cakera 220 mm, juga dilengkapi kaliper dengan dua piston. Di bahagian roda, ianya dibekalkan sepasang tayar dalam siri 100/80-17 dan 130/70-17.

Kawasaki Z125 2022 seterusnya tampil dengan paparan instrumen digital sepenuhnya yang serba moden, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 11 liter, pilihan tempat duduk ERGO-FIT Low Seat untuk lebih keselesaan, tinggi tempat duduk standard 815 mm, rekaan ekor belakang yang tajam dan sporty, dan berat hanya 147 kg (curb mass).

Sebagai rujukan, harga jualan Kawasaki Z125 2022 di pasaran UK bermula dari £ 3,899 (RM 22,202.10), bagi pilihan warna Candy Lime Green / Metallic Spark Black. Manakala bagi dua pilihan warna Metallic Flat Spark Black dan Pearl Flat Stardust White / Metallic Spark Black pula, harga jualannya ialah sebanyak £ 3,999, bersamaan RM 22,771.53.

Selain itu, Kawasaki Ninja Z125 2022 turut ditawarkan dalam versi Performance, yang dilengkapi dengan beberapa aksesori tambahan asli seperti  Arrow Silencer, Pillion Seat Cover, Tankpad dan juga Gear Indicator. Kawasaki Ninja Z125 Performance 2022 boleh dimiliki dengan harga jualan yang bermula dari £ 4,549, bersamaan nilai RM 25,903.40.

Galeri : Kawasaki Z125 2022

Galeri : Kawasaki Z125 Performance 2022