Selepas model Kawasaki Ninja ZX-10R ABS KRT Edition 2023, Kawasaki Ninja 650 2023 dan Kawasaki Ninja 400 2023 yang tampil dengan skim warna KRT Edition versi terbaharu, kini tiba pula giliran model Kawasaki Ninja 125 2023. Khusus untuk pasaran Eropah bagi musim 2023, pilihan warna KRT Edition itu menjadi pilihan warna tunggal.
Ini berlainan dengan model sebelumnya iaitu Kawasaki Ninja 125 2022, yang memiliki tiga pilihan warna kesemuanya. Spesifikasi teknikal pula kekal sama, antaranya seperti enjin 125cc (liquid-cooled, 4-stroke single, DOHC, 4-valves) dengan padanan transmisi enam kelajuan, yang menjana 15PS @ 10,000rpm dengan tork 11.7Nm @ 7,700rpm.
Merupakan sebuah model sport bike kecil yang serba lengkap, Ninja 125 ini seterusnya memiliki tangki bahan api 11 liter, sistem brek cakera dengan ABS, panel meter digital, tempat duduk Ergo-Fit yang boleh dioptimumkan untuk keselesaan penunggang, serta tayar depan dan belakang masing-masing dalam ukuran 100/80-R17 dan 130/70-R17.
Untuk pasaran UK, harga jualan Kawasaki Ninja 125 2023 adalah sebanyak £ 4,699.00, bersamaan nilai RM 24,319.30. Setakat ini model tersebut hanya ditawarkan di pasaran Eropah, kerana ianya mesra pemegang lesen dalam kelas A1, A2 dan B. Untuk pasaran Malaysia, pilihan terbaik ialah Modenas Ninja 250 dengan harga dari RM 18,900.00.










