MODA Sporter S SKII (2026) dapat 11 ciri baharu, harga badan naik RM110

MDua Motor yang menguruskan jenama MODA di Malaysia melancarkan skuter sport generasi kedua MODA Sporter S yang dinamakan sebagai MODA Sporter S SKII (2026) dengan harga badan RM17,998 seunit.

Ada dua warna pilihan disediakan iaitu putih Putih Porsch (Porsch White) dan Biru Titan (Titan Blue) yang dijangka berada di rangkaian pengedar di seluruh negara bermula Khamis ini.

MODA Sporter S SKII adalah produk yang dipertingkat dengan sejumlah ciri baharu hasil maklum balas daripada kelompok pembeli Sporter S generasi pertama tahun 2025.

Perbezaan harga antara model generasi pertama V1 dengan Sporter S SKII (v2) hanya RM110. Maklumat tidak rasmi diterima mendakwa skuter V2 akan menggantikan V1 tidak lama lagi.

Apa Beza MODA Sporter S V1 dan V2?

Skuter sport generasi kedua MODA Sporter S SKII (2026) menerima ciri naik taraf yang nampaknya memenuhi permintaan peminat. Ini merangkumi talaan, ciri moden dan estetika.

Ini adalah ciri peningkatan dibuat MODA Malaysia iaitu:

Meter TFT 7 inci berwarna dengan ciri sesentuh (touch screen) menggantikan meter LCD warna tunggal.

Soket USB Type-A dan Type-C disediakan untuk Sporter S SKII berbanding hanya USB Type-A pada skuter generasi pertama Sporter S (2025).

Winglet depan didatangkan untuk model generasi kedua.

Madgad, winglet dan panel sisi gayaan karbon. Perlu diingatkan ini bukan karbon tulen tetapi karbon hiasan dibuat dengan kaedah water transfer. Ini dibuat di China menggunakan tenaga manusia dan bukannya mesin.

Sistem suspensi ditala semula membabitkan fork depan dan absober belakang. Fork depan ditambah kandungan cecair minyak dan absober belakang dikurangkan cecair minyak serta menukar spring lebih lembut.

Ada kamera dashcam bahagian hadapan. Belakang tiada kamera. Paparan boleh dilihat pada skrin meter TFT.

Penghadang angin kini jenis elektrik dan boleh dilaras dengan menekan butang di konsol sebelah kiri. Model generasi pertama boleh dilaras tetapi secara manual.

Konsol butang kawalan kiri dan kanan baharu. Lebih kemas berbanding model generasi pertama.

Lampu signal dan lampu DRL diposisikan di sebelah penghadang angin. Model sebelum ini lampu signal pada cermin sisi.

Cermin sisi diikat pada bar hendal. Bukan lagi pada fairing depan seperti model Sporter S generasi pertama.

Penutup kulit transmisi CVT baharu. Kini lebih mudah untuk proses penukaran minyak enjin. Perubahan dimensi penutup CVT juga membolehkan tongkat tengah diposisikan lebih ke dalam.

Berat skuter berkurangan 2kg (kini 184kg) berbanding 186kg sebelum ini.

Spesifikasi MODA Sporter S SKII (2026)

  • Enjin silinder tunggal 4-injap 244cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api (FI).
  • Output kuasa 24.8hp @ 8,500rpm.
  • Tork puncak  22.5Nm @ 6,500rpm.
  • Sistem transmisi automatik CVT.
  • Sistem pencahayaan LED penuh.
  • Brek cakera kembar 260mm dengan kaliper 4-piston (depan)
  • Brek cakera tunggal 240mm dengan kaliper piston tunggal (belakang).
  • Ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
  • Sistem fork terbalik (USD) di depan dan set absorber berkembar dengan subtank di belakang.
  • Sistem kekunci pintar dengan butang buka pelana dan tempat isian petrol.
  • Panel meter TFT 7 inci berwarna.
  • Indikator lampu signal belok di sebelah penghadang angin.
  • Jarak roda 1,538mm.
  • Jarak bumi 165mm.
  • Berat 184kg.
  • Tangki petrol 13 liter.
  • Ruang simpanan bawah pelana 10 liter.
  • Ada dua ruang simpanan barang.
  • Ada Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS).

ArtikelPengedar jual skuter MODA Sporter S Final Edition (2026), warna kuning terhad 600 unit?

Galeri Gambar MODA Sporter S SKII (2026)