Aveta SVR180 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 9,988.00

Syarikat pengeluar motosikal tempatan Aveta Motor Malaysia secara rasminya kelmarin melancarkan sebuah model supermoped terbaharu, hadir dengan nama Aveta SVR180 2022. Model tersebut didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Merah, Biru dan Cyan, namun di dalam paparan brosur rasmi, juga terdapat pilihan warna Hitam.

Untuk pasaran Malaysia, Aveta SVR180 2022 ini ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 9,988.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Harga itu mungkin dirasakan agak tinggi untuk model motosikal yang berasal dari negara China, namun spesifikasi teknikal yang ditawarkan boleh dikatakan menarik dan berpadanan.

Aveta SVR180 dikuasakan enjin bersesaran 175cc (4-stroke, DOHC, liquid-cooled) dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Enjin sebesar itu dengan teknologi EFI mampu menjana kuasa maksimum setinggi 16.76hp (12.5kW) @ 8,500rpm dengan keluaran tork maksimum 15.5Nm @ 8,500rpm. Enjin berprestasi itu mematuhi piawaian emisi Euro 4, dan ianya turut didatangkan sistem radiator bersama-sama penutup grill.

Beralih ke bahagian tangki bahan api, kapasiti sebenarnya dikatakan 6.6 liter dan bukan hanya 3.8 liter. Aveta SVR180 2022 yang sporty ini seterusnya dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya termasuk lampu depan dengan ciri DRL, paparan panel meter digital LCD penuh bersaiz besar dengan ciri ‘Sensing Touch’, sistem brek cakera di depan dan belakang, dan sepasang tayar berukuran 90/80-17 (depan) dan 120/70-17 (belakang).

Untuk kemudahan pemiliknya nanti, Aveta SVR180 2022 juga dilengkapi dengan soket pengecas USB untuk mengecas telefon bimbit dan gajet. Dengan pelancarannya, boleh dikatakan dunia permotoran di negara kita kini semakin meriah, dengan pelbagai pilihan model-model yang menarik. Adakah model supermoped ini bakal menjadi pilihan anda?

Sumber gambar : Paultan.org & Ee Tiong Motorsports Sdn. Bhd.