Keeway di pasaran India kini semakin agresif. Sebelum ini jenama pengeluar motosikal yang berasal dari Hungary itu menawarkan model-model menarik seperti cruiser K-Light 250V, skuter Vieste 300, skuter Sixties 300i, dan cruiser V302C. Paling terbaru, Keeway telah melancarkan dua model iaitu Keeway K300 R 2022 dan Keeway K300 N 2022.
K300 R merupakan sebuah model sport full fairing, manakala K300 N merupakan model naked. Jika anda merasakan pernah melihat kedua-dua model berkenaan, ianya adalah kerana kedua-duanya berasal daripada model CFMOTO 300SR dan CFMOTO 300NK. Di pasaran Malaysia, kedua-dua model tersebut tampil dalam versi 250SR dan 250NK.
Untuk pasaran India, K300 N dijual dengan harga sebanyak ₹ 265,000, bersamaan RM 15,082.36, (kadar semasa), manakala K300 R dijual pada harga ₹ 299,000, bersamaan RM 17,017.46 (kadar semasa). Kedua-dua model didatangkan dengan tiga pilihan skim warna yang menarik. Di bahagian enjin, kedua-dua model dilengkapi enjin yang sama.
Keeway K300 R dan Keeway K300 N dikuasakan enjin 292.4cc (single cylinder, liquid cooled, 4 stroke) dengan transmisi enam kelajuan dan slipper clutch. Janaan kuasanya mencapai 27.50hp @ 8,750rpm dengan tork 25Nm @ 7,000rpm. Kapasiti tangki petrol untuk kedua-duanya berbeza, iaitu 12 liter untuk K300 R dan 12.5 liter untuk K300 N.
Pada bahagian suspensi, K300 R dan K300 N dilengkapi fork depan USD dan suspensi belakang monoshock. Sistem brek cakera depan dan belakang lengkap dengan sistem ABS Dual Channel. Tinggi tempat duduk K300 R ialah 780 mm dan 795 mm untuk K300 N. Tayar kedua-dua model itu tampil dalam siri 110/70-17 (front) dan 140/60-17 (rear).
Melengkapkan lagi spesifikasi menarik pada K300 R dan K300 N ini termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital berinformasi, dua mod tunggangan dan sistem ekzos pada kedudukan di bawah enjin. Akhir sekali Keeway K300 R dan Keeway K300 N masing-masing mempunyai berat keseluruhan 165 kg dan 151 kg (curb weight).
Sumber gambar : bikewale.com