Super Moped Projek AM-2 serba baharu bakal menerjah pasaran Malaysia pada suku ketiga tahun 2023

Masih ingatkah lagi dengan projek Super Moped 175cc yang dibangunkan oleh syarikat tempatan Ottimo Technologies Sdn. Bhd.? Menurut sumber terkini model tersebut bakal menerjah pasaran tempatan pada suku ketiga tahun depan. Namun, agak mengelirukan sebenarnya apabila model tersebut kini dikatakan sedang dibangunkan pula oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan syarikat tempatan AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI).

Menurut laporan daripada akhbar Harian Metro yang bertarikh 23 Ogos 2022, kedua-dua entiti berkenaan kelmarin secara rasminya telah melancarkan pembangunan projek motosikal jenama tempatan, yang dikenali dengan nama Projek AM-2. Menurut sumber siasatan daripada rakan media Funtasticko.net, memang sah Projek AM-2 ialah model Super Moped 175cc yang sebelum ini rancak dibangunkan oleh Ottimo Technologies.

Adakah ini bermakna Ottimo Technologies kini telah mempunyai kolaborasi dengan AFY Mobility Industries? Untuk makluman anda, syarikat AFY Mobility Industries merupakan pengedar tunggal rasmi Suzuki Malaysia, yang baru saja membuat kemunculan semula pada penghujung tahun 2020 yang lalu. Bagaimanapun, agak pelik apabila laman web Ottimo Technologies kini tidak lagi dapat dilayari, kecuali laman Facebook rasmi sahaja.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMI iaitu Ahmad Faez Yahaya, sasaran jualan untuk tahun pertama pengeluaran motosikal Super Moped Projek AM-2 berkenaan ialah bagi menguasai lima peratus daripada kira-kira 600,000 unit total volum dalam pasaran. Kerjasama dengan Mara pula dikatakan bakal membuka peluang penempatan latihan industri bagi pelajar yang berkemahiran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Mara.

Kesimpulannya, sebuah model Super Moped terbaharu yang ketika ini dikenali dengan nama Projek AM-2, sedang dibangunkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI). Adakah model tersebut bakal menawarkan teknologi terkini dan prestasi yang bakal menarik perhatian peminat motosikal tempatan? Sama-samalah kita tunggu pelancaran model tersebut pada suku ketiga 2023 akan datang.

Artikel berkaitan :