Jentera hyper naked Yamaha MT-10 2022 versi facelift terbaharu telah diperkenalkan di pasaran Eropah pada bulan November 2021 yang lepas. Turut diperkenalkan ialah versi lebih berprestasi iaitu Yamaha MT-10 SP 2022. Untuk pasaran Jepun, kedua-dua model berkenaan bakal ditawarkan secara rasmi tidak lama lagi, mulai 26hb. Oktober 2022.
Yamaha MT-10 2022 dan Yamaha MT-10 SP 2022, kedua-dua model tersebut kini hadir dengan reka bentuk dan gaya luaran minimalis terbaharu yang lebih sporty. Di samping itu, enjin crossplane CP4 bersesaran 998cc kini lebih berkuasa dan mematuhi piawaian emisi paling terkini di Jepun, di samping turut menerima pelbagai naik taraf yang lain.
Siri Yamaha MT-10 2022 masih mengekalkan enjin terdahulu yang dibawakan daripada model generasi sebelumnya Yamaha MT-10 2021. Namun dengan pelbagai naik taraf terkini yang ekstensif, kuasa maksimumnya kini mencapai 166PS @ 11,500rpm dengan tork maksimum 112Nm @ 9,000rpm. Enjin itu dipadankan transmisi enam kelajuan.
Naik taraf terkini lain termasuklah penggunaan sistem intake serba baharu yang direka semula bagi menghasilkan bunyi yang lebih garang, sistem ekzos titanium baharu yang turut menghasilkan keluaran bunyi lebih padu, peningkatan ciri ergonomik tunggangan, dan sistem breknya kini telah dilengkapi dengan ‘Brembo radial brake master cylinder’.
Antara ciri utama baharu yang melengkapi Yamaha MT-10 2022 ialah Yamaha Variable Speed Limiter (YVSL), yang membolehkan had kelajuan maksimumnya ditetapkan bagi memenuhi pelbagai situasi tunggangan. Teknologi Quick Shift System (QSS) pula telah tersedia sebagai kelengkapan standard, yang mana sebelum ini merupakan pilihan.
Siri Yamaha MT-10 2022 ini turut dilengkapi sistem pendikit baharu Accelerator Position Sensor Grip (APSG) ride by wire, yang beroperasi dengan Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T). Respon pendikit itu boleh dilaraskan menggunakan suis PWR (Power delivery mode) dari empat tahap, daripada tahap agresif sehingga tahap paling lembut.
Model naked itu seterusnya dilengkapi unit IMU 6-axis (Inertial Measurement Unit) yang kini telah berevolusi menjadi lebih kecil dan lebih ringan, selain teknologi Lean sensitive Traction Control System, Slide Control system (SCS), Lift control system (LIF), Engine Brake Management (EBM), Brake Control (BC) dan juga Yamaha Ride Control (YRC).
Siri Yamaha MT-10 2022 dibangunkan di atas kerangka Deltabox aluminium yang kuat dan ringan, dibawakan daripada model YZF-R1. Bersama-sama lengan ayun aluminium dan jarak roda 1,405 mm, casis Deltabox itu memberikan kawalan pengendalian yang stabil, ringan dan lincah, dalam pelbagai jenis tahap kelajuan sewaktu tunggangan.
Di bahagian sistem suspensinya yang canggih, Yamaha MT-10 2022 ini dilengkapi fork depan terbalik 43 mm KYB dengan travel 120 mm, dan bergandingan dengan suspensi belakang KYB berprestasi tinggi. Kedua-dua sistem suspensi pada bahagian depan dan belakang itu boleh dilaraskan sepenuhnya untuk penyesuaian tunggangan dan beban.
Yamaha MT-10 2022 dilengkapi rim roda aluminium lima bilah, dengan sepasang tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22 berprestasi tinggi berukuran 120/70-17 (depan) dan 190/55-17 (belakang). Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 835 mm, berat keseluruhan 212 kg (wet weight), dan kapasiti maksimum tangki bahan api ialah 17 liter.
Melengkapkan jentera itu ialah panel instrumen TFT 4.2 inci terbaharu yang dibawakan daripada YZF-R1 dengan paparan yang lebih jelas dan terang. Sistem lampu LED pada bahagian depan dan belakangnya kini termasuklah lampu utama ‘compact new twin-eye mono-focus LED’, yang menjadikan penampilan terkininya kekal agresif dan dominan.
Untuk makluman anda, Yamaha MT-10 SP 2022 merupakan varian yang lebih premium dan lebih berprestasi berbanding varian standard Yamaha MT-10 2022. Oleh itu ianya tampil dengan beberapa perbezaan, antaranya model tersebut menjadi model pertama di dunia yang dilengkapi sistem suspensi separa aktif paling terkini daripada Öhlins.
Menurut Yamaha, sistem suspensi kawalan elektronik yang canggih itu menggunakan teknologi ‘spool valve damping’ terbaharu, yang terpasang di bahagian depan dan juga belakang jentera tersebut. Tambah Yamaha lagi, sistem suspensi itu telah memberikan pilihan pelarasan redaman yang lebih luas dan tahap tindak balas yang lebih tinggi.
Selain itu, Yamaha MT-10 SP 2022 turut dilengkapi ‘3-piece belly cowl’ secara eksklusif yang tampil begitu ringan, serta memberikan gaya penampilan sport yang lebih agresif. Malah bukan hanya sekadar kosmetik, ianya juga mampu menghalakan udara ke arah unit penyejuk minyak (oil cooler) agar suhu operasinya kekal konsisten setiap masa.
Yamaha MT-10 SP 2022 juga dilengkapi hos brek berjalin (braided brake hoses) yang dipasang sebagai ciri standard, bagi memantapkan lagi prestasi breknya terutamanya ketika beraksi di litar dalam suasana ekstrem dan suhu yang tinggi. Akhir sekali, model tersebut hanya ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja agar ianya kekal eksklusif.
Senarai harga siri Yamaha MT-10 2022 di pasaran Jepun :
- 2022 Yamaha MT-10 : 1,925,000 Yen (RM 63,433.40)
- 2022 Yamaha MT-10 SP : 2,189,000 (RM 72,132.84)