Web Analytics
Ottimo siarkan video teaser pertama model Super Moped 175cc terbaharu, pelancaran dijangka pada tahun depan – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Ottimo siarkan video teaser pertama model Super Moped 175cc terbaharu, pelancaran dijangka pada tahun depan

Pada sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang lepas, Ottimo Technologies Sdn. Bhd. telah menyiarkan sekeping imej teaser pertama yang memaparkan pandangan depan sebuah model Super Moped 175cc terbaharu. Terkini pada beberapa hari yang lepas, syarikat itu menyiarkan pula video teaser terbaharu di dalam laman Facebook rasmi mereka.

Berdasarkan video teaser yang berdurasi 49 saat itu, kita dapat melihat bahawa Ottimo sedang giat membangunkan model Super Moped dengan enjin 175cc itu, termasuk telah pun menyiapkan model tanah liatnya. Lakaran imej model moped berkenaan dalam warna biru pula kini kita dapat saksikan dengan lebih jelas, dan ternyata ianya begitu sporty.

Setakat ini pihak Ottimo masih belum mengumumkan bilakah model itu akan dilancarkan, namun dijangkakan ianya akan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada tahun depan. Sebagai sebuah model Super Moped 175cc buatan tempatan sepenuhnya, pastinya model tersebut sangat dinanti-nantikan oleh ramai peminat motosikal tanah air.

Dari segi reka bentuk, Ottimo Super Moped 175cc ini dijangka bakal memberikan saingan sengit kepada model-model moped lain di pasaran tempatan. Namun paling penting ialah jumlah kuasa yang dihamburkannya, disertai tahap kelajuan maksimum. Untuk maklumat selanjutnya, kita harapkan Ottimo akan menyiarkan lebih banyak teaser lain selepas ini.

 
Arena Motosikal © 2023