Honda CBR150R Repsol Edition 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, edisi terhad 800 unit sahaja

Boon Siew Honda hari ini rasmi melancarkan model terbaharu Honda CBR150R Repsol Edition 2022 untuk pasaran Malaysia, dalam edisi terhad 800 unit sahaja. Harga jualan asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 13,499.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dengan tempoh jaminan 2 tahun atau 20,000 km perbatuan.

Menurut Boon Siew Honda, dua pilihan warna terdahulu yang ditawarkan melalui model standard Honda CBR150R iaitu Mat Charcoal Gray Metallic dan Candy Scintillate Red, akan diteruskan jualannya seperti biasa. Di bahagian spesifikasi, Honda CBR150R edisi Repsol yang bergaya sporty ini masih kekal dengan spesifikasi seperti model standard.

Imbas kembali spesifikasi Honda CBR150R, ianya dilengkapi enjin bersesaran 149.2cc (liquid-cooled, 1-cylincer, DOHC, 4-valve, PGM-FI) dengan kuasa maksimum 16.1hp @ 9,000rpm dan tork maksimum 13.7Nm @ 7,000rpm. Enjin berprestasi itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, bersama-sama Assist & Slipper Clutch.

Honda CBR150R seterusnya dilengkapi fork depan USD berwarna emas, ruang kokpit rekaan baharu yang lebih sensasi, lampu depan LED yang agresif, panel meter digital sepenuhnya, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem brek ABS dua saluran dengan ciri Emergency Stop Signal, tangki petrol 12 liter, tinggi pelana 788 mm dan berat 139 kg.

Di pasaran Malaysia, Honda CBR150R Repsol Edition 2022 ini mungkin akan menjadi pencabar utama kepada model Yamaha YZF-R15M 2022 yang baru saja dilancarkan di pasaran tempatan baru-baru ini. Selain itu untuk peminat Suzuki, terdapat pilihan model Suzuki GSX-R150 2022 yang dijual dengan harga asas berpatutan iaitu RM 11,329.00.