Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 kini tiba di pasaran Hong Kong, harga jualan bersamaan RM 44,661.34

Pada bulan April 2022 yang lepas, Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 telah tiba di pasaran Hong Kong, dengan dua pilihan warna terbaharu. Model berkenaan sebelum ini terlebih dahulu dilancarkan untuk pasaran Indonesia, Thailand, Jepun, Filipina dan Vietnam. Di pasaran Hong Kong, harga jualannya ialah HK$ 79,800, bersamaan RM 44,661.34.

Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 merupakan sebuah model sport bike dengan enjin 250cc empat silinder. Enjin berprestasi itu mampu menghamburkan kuasa maksimum 45PS @ 15,500rpm (46PS dengan Ram Air) dengan tork maksimum 21Nm @ 13,000rpm. Enjin itu seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.

Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada sebarang maklumat sama ada model itu akan dibawa masuk oleh EMOS (Modenas) tidak lama lagi, atau akan kekal di pasaran negara-negara jiran sahaja. Jika ianya dilancarkan nanti, ZX-25R secara tidak langsung akan menjadi model penerus kepada model terdahulu iaitu Kawasaki Ninja ZXR 250.

Namun oleh kerana harganya yang tinggi sekitar RM 35k, Kawasaki Ninja ZX-25R telah dikatakan agak kurang kompetetif untuk ditawarkan di pasaran Malaysia. Kenyataan itu mungkin ada benarnya dengan melihat kepada trend pembelian oleh peminat motosikal tempatan selama ini. Apa pun tidak salah jika Kawasaki dan EMOS berani mencuba.

Sumber : ibike.hk