Kawasaki Motor Indonesia (KMI) baru-baru ini secara rasminya memperkenalkan model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-25R 2022. Model tersebut kini tampil dengan tiga skim pilihan warna terbaharu untuk versi Special Edition (SE), manakala versi Standard kekal dengan warna terdahulu iaitu Metallic Spark Black, sama seperti model tahun 2021.
Ketiga-tiga skim pilihan warna terbaharu yang diperkenalkan itu dikenali sebagai Lime Green / Ebony / Pearl Blizzard White, Passion Red / Pearl Blizzard Red, dan Metallic Matte Graphenestell Grey / Metallic Spark Black. Untuk pasaran Indonesia, harga jualan yang ditawarkan untuk Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 boleh dikatakan masih berpatutan.
Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 bagi versi SE (dengan sistem brek ABS) ditawarkan pada harga sebanyak Rp. 116,000,000, bersamaan RM 33,413.24 mengikut kadar semasa. Untuk versi Standard (tanpa sistem brek ABS), harga jualannya adalah sedikit rendah iaitu sebanyak Rp. 98,850,000, bersamaan nilai RM 28,473.27 mengikut kadar semasa.
Beralih ke bahagian spesifikasi teknikal termasuk di bahagian enjinnya yang berkuasa, didapati ianya masih sama seperti model tahun 2021. Ini bermakna bagi model untuk musim 2022, KMI hanya mengemaskini skim warna sahaja agar penampilan terbaharu model tersebut kekal sporty dan segar, demi menarik perhatian lebih ramai pembeli.
Untuk maklumat selanjutnya mengenai spesifikasi Kawasaki Ninja ZX-25R 2022, anda boleh dapatkannya melalui artikel terdahulu di sini : Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 di pasaran Indonesia, dua varian Standard dan SE, kelajuan maksimum 197 km/j. Di bawah berikut pula ialah galeri gambar-gambar menarik model tahun 2022, saksikan.