Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 di pasaran Thailand terima kemaskini dua skim warna terbaharu, harga RM 35,265.54

Pada tarikh 11 Jun 2021 yang lepas, Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 di pasaran negara Indonesia secara rasminya tampil dengan beberapa pilihan skim warna terbaharu yang lebih sporty dan segar. Dan pada hari ini pula untuk pasaran di negara Thailand, model tersebut turut menerima kemaskini skim warna terbaharu yang lebih menyerlah.

Untuk pasaran Thailand, Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 kini didatangkan dalam dua skim warna terbaharu iaitu Lime Green/Ebony/Pearl Blizzard White (SE) dan Metallic Matte Twilight Blue/Metallic Graphite Gray (SE). Dua warna terdahulu iaitu Lime Green/Ebony (SE) dan Metallic Spark Black/Pearl Flat Stardust White (SE) juga masih ditawarkan.

Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 merupakan sebuah jentera sport berprestasi, dikuasakan enjin empat lejang 249.8cc dengan teknologi empat silinder sebaris (liquid-cooled, 4-stroke in-line four, DOHC, 16 valves). Janaan kuasanya mencapai 51PS @ 15,500rpm (dengan Ram Air) (50PS tanpa Ram Air), dengan tork puncak 22.9Nm @ 14,500rpm.

Ianya turut dilengkapi pelbagai teknologi canggih seperti Assist & Slipper Clutch, KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, Centre Ram Air System dan juga Electronic Throttle Valves. Bagi model SE, ianya dilengkapi dengan beberapa teknologi tambahan iaitu sistem brek ABS, KQS (Kawasaki Quick Shifter), dan ciri-ciri tersendiri seperti Pillion Seat Cover, Smoked Windshield, Frame Slider dan Wheel Rim Tape.

Lebih dari itu, Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 dibangunkan di atas kerangka trellis serba baharu yang kukuh, dilengkapi fork depan USD dengan diameter 37 mm menggunakan teknologi SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston), seterusnya dilengkapi sistem suspensi belakang monoshock Horizontal Back-Link dengan ciri pelarasan prabeban.

Untuk prestasi pemberhentian maksimum yang lebih cekap, sistem breknya merupakan cakera depan tunggal berdiameter 310 mm dengan gabungan “radial-mount monobloc caliper”, yang kemudiannya digandingkan bersama-sama sistem brek belakang dengan cakera berdiameter 220 mm. Tahap pengendalian maksimum jentera itu seterusnya disempurnakan oleh tayar depan dan belakang bersaiz 110/70-R17 dan 150/60-R17.

Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 juga dibekalkan panel meter canggih yang berinformasi, sistem kunci immobiliser untuk mencegah kecurian, lampu depan LED jenis berkembar, rekaan silencer sistem ekzos yang pendek dan kapasiti tangki bahan api 15 liter. Berat motosikal bagi varian Standard ialah 180 kg dan varian SE mempunyai berat 182 kg.

Untuk pasaran Indonesia, Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 ditawarkan dalam dua varian iaitu SE dan Standard, manakala pasaran Thailand hanya ditawarkan varian SE sahaja. Untuk pasaran Thailand, Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 boleh dimiliki pada harga jualan sebanyak THB 269,200, bersamaan RM 35,265.54 mengikut kadar tukaran semasa.