Yamaha TMAX 2022 diperkenalkan di pasaran Eropah, terima penampilan serba baharu dengan naik taraf terkini

Pada bulan November 2021 yang lalu, Yamaha telah memperkenalkan Yamaha TMAX 2022 untuk pasaran Eropah. Model Sport Scooter itu kini telah sampai ke generasi yang kelapan, sejak ianya diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2001. Untuk pasaran Malaysia, Yamaha TMAX 2021 telah dilancarkan pada bulan Oktober 2021 yang lepas.

Yamaha TMAX 2022 kini tampil dengan reka bentuk serba baharu yang lebih sporty dan agresif, serta badan yang lebih kompak. Model tersebut turut menerima naik taraf terkini di bahagian rim roda dan suspensi, yang menawarkan prestasi pengendalian yang lebih sporty. Sepasang tayar Bridgestone Battlax SC2 pula menawarkan cengkaman terbaik.

TMAX 2022 kini dilengkapi skrin TFT berwarna sepenuhnya bersaiz 7.0 inci, dengan ciri sambungan ke smartphone melalui Bluetooth, Wi-Fi atau USB. Peningkatan lain seperti posisi tunggangan yang kini lebih sporty, backrest tempat duduk boleh laras untuk lebih keselesaan, windscreen boleh laras yang lebih kompak dan lebih senyap, dan ianya kini turut dilengkapi sistem ride-by-wire canggih Accelerator Position Sensor Grip (APSG).

Ciri-ciri menarik yang lain termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, sistem operasi keyless dengan smart key, fork depan upside-down 41 mm, suspensi belakang tunggal jenis link-type, brek cakera depan dan belakang, sistem traction control, D-MODE untuk pilihan mod enjin, tongkat tengah anti kecurian, ruang barangan di bawah tempat duduk yang luas, dan juga tudung tangki petrol aero-style yang beroperasi secara elektrikal.

Di bahagian enjin, Yamaha TMAX 2022 dilengkapi sistem penjana kuasa dalam sesaran 562cc (liquid-cooled, parallel twin-cylinder, EURO5, 4-stroke, 4-valves, DOHC), dengan padanan sistem transmisi CVT yang lancar dan cekap. Enjin berkenaan menjana kuasa maksimum 46.93hp @ 7,500rpm, dengan tork puncak 55.7Nm @ 5,250rpm. Bersama-sama sistem ekzos sporty, bunyi yang terhasil adalah berkuasa, jelas dan mendalam.

Untuk perjalanan lebih jauh, model seberat 218 kg dengan tinggi tempat duduk 800 mm itu dilengkapi tangki bahan api 15 liter. Untuk pasaran Eropah, TMAX 2022 didatangkan tiga pilihan warna menarik iaitu Extreme Yellow (penghormatan kepada warna generasi pertama TMAX yang turut tampil dengan warna kuning), Icon Blue dan Sword Grey.