Honda Hawk 11 2022 akan berada di pasaran Jepun mulai 29hb. September 2022, harga bersamaan RM 46,792.04

Model cafe racer terbaharu Honda Hawk 11 (Hawk Eleven) 2022 kini diumumkan bakal berada di pasaran domestik Jepun secara rasmi, mulai tarikh 29hb. September 2022. Boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Pearl Hawks Eye Blue dan Graphite Black, harga jualannya ditetapkan sebanyak 1,397,000 Yen, bersamaan nilai RM 46,792.04.

Honda Hawk 11 menggunakan enjin bersesaran 1,082cc (water-cooled, 4-stroke, OHC (Unicam) 4-valve, In-line 2-cylinder) dengan transmisi enam kelajuan. Enjin berprestasi itu menjana 102PS @ 7,500rpm, dengan tork 104Nm @ 6,250rpm. Melengkapkan lagi spesifikasinya ialah sistem throttle-by-wire, riding mode (Sport, Standard, Rain & User), engine brake, wheelie control dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Honda Hawk 11 kemudiannya dilengkapi fork depan jenis upside-down Showa SFF-BP (separate function front fork big piston), suspensi belakang tunggal, sistem brek cakera depan dan belakang daripada Nissin dengan ABS, tangki bahan api 14 liter, tayar depan 120/70-R17 dan belakang 180/55-R17, tinggi tempat duduk 820 mm dan berat 214 kg.

Ciri-ciri menarik lain pada model tersebut adalah seperti panel instrumen digital dengan gaya rekaan bulat, sistem lampu LED sepenuhnya dan sistem ekzos yang sporty. Untuk pasaran domestik Jepun, Honda menetapkan sasaran jualan tahunan sebanyak 1,200 unit untuk model berkenaan. Untuk anda, saksikan paparan galerinya seperti di bawah.