Yamaha XMAX 300 2022 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bersamaan RM 22,447.94

Skuter maxi terbaharu Yamaha XMAX 300 2022 rasmi dilancarkan di pasaran Thailand baru-baru ini, dengan harga jualan sebanyak THB 179,000, bersamaan RM 22,447.94. Empat pilihan warna yang ditawarkan untuk model tersebut ialah Dark Green, Redline, Milky White dan Icon Blue, di samping gabungan rim berwarna emas, hitam dan biru.

Yamaha XMAX 300 dikuasakan enjin Blue Core yang canggih dan cekap penggunaan bahan api. Enjin bersesaran 292cc itu (4-valves, 4-stroke, single cylinder, liquid-cooled, SOHC) menghasilkan kuasa maksimum 27.6hp @ 7,250rpm dengan tork puncak 29Nm @ 5,750rpm. Enjin tersebut seterusnya dipadankan sistem transmisi automatik V-Belt.

Di bahagian suspensi, Yamaha XMAX 300 menggunakan fork depan dengan diameter 33 mm, untuk pengendalian yang lebih baik dan tunggangan yang lebih selesa. Sistem brek depan dan belakangnya terdiri daripada cakera berdiameter 267 mm dan 245 mm, lengkap dengan sistem ABS Dual Channel dan juga Traction Control System (TCS).

Yamaha XMAX 300 seterusnya dilengkapi roda depan dalam siri 120/70-R15 dan roda belakang dalam siri 140/70-R14, yang menawarkan tahap kestabilan tertinggi dalam semua situasi tunggangan. Spesifikasi yang lain termasuklah tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 13 liter, tinggi tempat duduk 795 mm dan berat 179 kg (wet weight).

Lebih menarik lagi Yamaha XMAX 300 2022 ini turut dilengkapi Smart Key System, port pengecas 12V, ruang barangan yang luas di bawah tempat duduk dan boleh dimuatkan dua buah topi keledar, panel instrumen digital pelbagai informasi dengan suis mod pada handlebar, dan termasuklah lampu depan dan belakang LED dengan lampu posisi LED.

Untuk pasaran Malaysia, HLYM turut menawarkan skuter Yamaha XMAX, dan model itu dilengkapi enjin bersesaran 250cc. Baru saja diperkenalkan pada awal bulan Mac 2022 baru-baru ini, Yamaha XMAX 250 2022 ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 21,998.00 sahaja (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan juga cukai jalan).