Yamaha XMAX 250 2022 terima kemaskini baharu di pasaran Malaysia, harga asas RM 21,998.00

Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini memperkenalkan skuter Yamaha XMAX 250 2022 terbaharu, dengan beberapa kemaskini kecil yang lebih menarik. Antaranya ialah model tersebut kini dilengkapi ‘smoke flasher lens’ di bahagian lampu isyarat, termasuklah kunci pintar rekaan baharu (new smart key remote design).

Selain itu, model tersebut turut ditawarkan dengan dua pilihan warna terbaharu, dikenali dengan nama Icon Grey dan Power Grey. Harga jualan asas yang ditetapkan pula ialah sebanyak RM 21,998.00 (tanpa pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Setiap pembelian akan turut menerima kunci cakera Yamaha secara percuma, yang bernilai RM 100.00.

Yamaha XMAX 250 2022 dikuasakan enjin Blue Core berkapasiti 250cc (single cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valves, fuel injection) yang mematuhi piawaian Euro 4, dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT. Enjin berkenaan menawarkan kuasa maksimum 22.52hp @ 7,000rpm, dengan tork maksimum 24.3 Nm @ 5,500rpm.

Yamaha XMAX 250 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 13 liter, sistem brek cakera depan dan belakang, ketinggian tempat duduk 795 mm, lampu depan LED sepenuhnya dengan ciri DRL (Daytime Running Light), lampu belakang LED, port pengecas 12V dan ruang simpanan yang luas di bawah pelana, lengkap dengan lampu LED di dalamnya.

Untuk kemudahan penunggangnya, model tersebut dilengkapi paparan panel instrumen analog dan digital yang jelas, yang memberikan pelbagai informasi penting pada setiap masa. Untuk tahap keselamatan yang lebih baik, Yamaha XMAX 250 dilengkapi sistem brek ABS (Anti-Lock Braking System), dan termasuklah TCS (Traction Control System).

Di bahagian roda, Yamaha XMAX 250 didatangkan tayar depan bersaiz 120/70-15 dan tayar belakang bersaiz 140/70-14. Dengan fork depan teleskopik jenis motosikal, model tersebut menawarkan ciri tunggangan yang lebih selesa dan kawalan yang lebih sporty, yang turut dibantu oleh skrin penghadang angin dan handlebar yang boleh dilaraskan.