Suzuki Raider R150 Fi 2022 kini di pasaran Malaysia, tersedia dalam dua pilihan warna, harga asas RM 8,173.00

Model moped terbaharu Suzuki Raider R150 Fi 2022 akhirnya secara rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, pada tarikh 10hb. Mac 2022. Tampil dalam dua pilihan warna iaitu Titan Black dan Metallic Matte Stellar Blue / Titan Blue, model tersebut ditawarkan pada harga asas RM 8,173.00, yang boleh dikatakan berpatutan dan cukup kompetetif.

Suzuki Raider R150 Fi merupakan kesinambungan kepada model terdahulu, yang lebih dikenali dengan nama Suzuki Belang R150. Bagi model generasi terbaharu ini, enjinnya kini dilengkapi sistem suntikan bahan api ‘fuel injection’ yang lebih cekap, menggantikan sistem lama karburetor, membolehkannya mencapai piawaian emisi bertaraf Euro 4.

Berbanding pesaing-pesaingnya yang lain, Suzuki Raider R150 Fi dilengkapi enjin yang paling berkuasa di dalam kelasnya. Enjin 147.3cc (satu silinder, sejukan cecair, DOHC, 4-injap) dengan sistem ‘fuel injection’ itu menghamburkan prestasi maksimum 18.2hp @ 10,000rpm dan tork 13.8Nm @ 8,500rpm. Sistem transmisinya ialah enam kelajuan.

Sejak beberapa hari yang lepas, Suzuki Raider R150 Fi didapati telah pun tiba di kedai-kedai motosikal yang menjadi wakil pengedar sah Suzuki Malaysia. Harga jualan OTR yang ditawarkan oleh kedai motosikal @ wakil pengedar juga adalah berpatutan, dalam lingkungan RM 8,600 – 8,700 sahaja (termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Walaupun mendapat sambutan baik daripada kebanyakan peminat motosikal tempatan, namun ramai juga yang memberikan pendapat yang berbeza dan membandingkannya dengan model-model moped popular yang lain. Namun semua itu hanyalah lumrah dan merupakan perkara biasa di kalangan peminat motosikal di negara kita sejak dahulu.

Yang pasti dan tidak dapat dinafikan ialah, Suzuki Raider R150 Fi ini mempunyai tahap kelajuan pecutan yang cukup tinggi, tanpa perlu enjinnya diubahsuai ke tahap ekstrem. Untuk anda yang masih belum sempat melihat model tersebut secara dekat pula, anda boleh saksikan dahulu gambar-gambar menariknya melalui paparan galeri di bawah.