Honda Click160 2022 serba baharu dilancarkan di pasaran Thailand, harga bermula dari RM 8,009.50

Dalam bulan Februari 2022 yang lepas, pasaran Indonesia dengan rasminya menerima kehadiran Honda Vario 160 2022 serba baharu. Kini model skuter tersebut dilancarkan pula di pasaran Thailand, dan ianya dikenali dengan nama Honda Click160 2022. Untuk pasaran Thailand, ianya ditawarkan dalam pilihan dua varian iaitu Standard dan ABS.

Bagi varian Standard dengan sistem brek CBS, Honda Click160 ditawarkan pada harga THB 63,500, bersamaan RM 8,009.50, dalam tiga pilihan warna Magnetic Black, Crystal White dan Furious Red. Bagi varian ABS, harga jualannya ialah sebanyak THB 69,900, bersamaan RM 8,816.75, dalam dua pilihan warna Magnetic Black dan Crystal White.

Selain daripada rekaan serba baharu yang sporty dan lebih agresif berbanding generasi terdahulu, Honda Click160 turut tampil dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri menarik. Antaranya termasuklah dikuasakan enjin eSP+ 156.9cc (4-valve, liquid-cooled, PGM-FI) yang canggih, berprestasi dan ekonomi, dengan padanan transmisi automatik V-Matic.

Enjin berkenaan menawarkan kuasa maksimum sehingga 15.4PS @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 13.8Nm @ 7,000rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 5.5 liter. Menurut Honda, tahap ekonomi penggunaan petrol untuk model dengan berat 118 kg (net weight) itu dikatakan mencapai sehingga 46.9 km/liter.

Honda Click160 dibangunkan di atas rangka berteknologi tinggi eSAF (enhanced Smart Architecture Frame), yang menjadikan prestasi tunggangannya lebih lincah dan mudah dikendalikan. Model skuter premium itu seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik dan suspensi belakang jenis tunggal, untuk tahap keselesaan dan kestabilan yang terbaik.

Honda Click160 dilengkapi brek cakera depan dan belakang dengan ABS satu saluran (untuk varian ABS), dan brek cakera depan dan brek dram belakang untuk varian CBS. Di bahagian roda, tayar depan dan belakangnya hadir dalam saiz 100/80-14 (tubeless) dan 120/70-14 (tubeless), dengan rim berwarna emas yang elegan untuk varian ABS.

Pelbagai ciri-ciri dan kemudahan menarik lain yang melengkapi model skuter itu adalah seperti sistem lampu LED sepenuhnya, sistem kunci Honda Smart Key, paparan panel meter digital dengan pelbagai informasi, soket USB untuk mengecas telefon bimbit, dan ruang 18 liter yang luas di bawah tempat duduk untuk penyimpanan barangan peribadi.

Selain itu, Honda Click160 2022 serba baharu untuk pasaran Thailand turut ditawarkan dalam versi Dynamic Sport Edition, yang tampil dengan kelengkapan beberapa aksesori pilihan daripada H2C. Untuk pasaran Malaysia, buat masa ini belum ada maklumat atau petunjuk mengenai pelancaran model ini oleh pengedar tunggalnya Boon Siew Honda.