Yamaha YZF-R15 V4 2021 kini masuk ke pasaran Singapura

Model sport bike Yamaha YZF-R15 V4 2021 serba baharu dilancarkan secara rasmi di pasaran India pada bulan September 2021 yang lalu. Ianya kemudian dilancarkan pula di pasaran Indonesia, pada awal bulan Disember 2021. Kemudiannya, model tersebut telah di bawa masuk ke pasaran Singapura, oleh pengedar motosikal Yamaha di sana.

Buat masa ini Yamaha Motor Singapore masih belum melancarkan secara rasmi model Yamaha YZF-R15 V4 ini, namun mujurlah pengedar motosikal di negara kepulauan itu bebas mengimport masuk model tersebut tanpa sebarang halangan daripada pengedar rasminya. Namun situasi di pasaran Singapura itu tidak berlaku di pasaran negara kita.

Untuk pasaran Singapura, berdasarkan gambar-gambar yang disiarkan oleh penjualnya iaitu i-Motoring Singapore, Yamaha YZF-R15 V4 yang ditawarkan merangkumi versi Standard dan juga versi M, termasuklah dengan livery MotoGP Movistar. Kesemua versi dilengkapi enjin berkapasiti 155cc VVA (liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve), dengan padanan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slippper Clutch. Keluaran kuasa yang dihasilkan mencapai 18.4PS @ 10,000rpm, dengan tork 14.2Nm @ 7,500rpm.

Untuk pasaran Malaysia, pengedar tunggal Hong Leong Yamaha Motor dijangka bakal melancarkan Yamaha YZF-R15 V4 ini dalam tahun ini juga, demi memberikan saingan semula kepada model Honda CBR150R 2021 serba baharu yang dilancarkan sebelum ini. Pada pandangan anda, model yang mana satukah akan menjadi pilihan, Y atau H?