India YAMAHA Motor Pvt. Ltd. pada kelmarin secara rasminya melancarkan model sport bike yang ditunggu-tunggu iaitu Yamaha YZF-R15 Version 4.0 (V4) 2021. Namun begitu model serba baharu itu buat masa ini hanya membuat kemunculan rasmi pertama untuk pasaran India. Untuk pasaran ASEAN, mungkin hanya akan tiba mulai tahun depan.
Untuk pasaran India, Yamaha YZF-R15 V4 hadir dalam dua pilihan varian Standard dan M. Bagi varian Standard, tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Racing Blue, Metallic Red dan Dark Knight. Untuk varian M yang diberikan nama khas Yamaha YZF-R15M, pilihan warna tunggal Metallic Grey miliknya mirip skim warna pada model Yamaha YZF-R1M.
Walaupun model tersebut tampil dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri terbaharu yang cukup menarik, harga yang ditawarkan adalah berpatutan, iaitu bermula dari ₹ 1,67,800 (RM 9,525.03) untuk Yamaha YZF-R15 V4, dan ₹ 1,77,800 (RM 10,092.67) untuk model Yamaha YZF-R15M. Beralih ke bahagian enjin, nampaknya tiada sebarang perubahan.
Yamaha YZF-R15 V4 dan Yamaha YZF-R15M dikuasakan enjin bersesaran 155cc VVA (liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve), dengan padanan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slippper Clutch. Kuasa yang dihasilkan mencapai 18.4PS @ 10,000rpm dengan tork 14.2Nm @ 7,500rpm, sedikit berbeza berbanding model versi terdahulu.
Beralih ke bahagian reka bentuk dan penampilan, Yamaha YZF-R15 V4 dan juga model Yamaha YZF-R15M, kedua-duanya kini tampil dengan gaya rekaan serba baharu mirip model Yamaha YZF-R1 yang lebih aerodinamik. Lebih dari itu, kedua-duanya dilengkapi lampu depan LED tunggal yang diapit oleh sepasang lampu posisi LED yang agresif.
Paling mengujakan, Yamaha YZF-R15 V4 untuk pilihan warna Racing Blue dan Yamaha YZF-R15M, kedua-duanya menerima kelengkapan tambahan Quick Shifter dan Traction Control. Menurut Yamaha, dua ciri canggih yang diperkenalkan itu adalah yang pertama kali pernah diperkenalkan untuk model keluaran mereka dengan enjin kecil satu silinder.
Yamaha YZF-R15 V4 dan Yamaha YZF-R15M turut dilengkapi kluster instrumen LCD terbaharu, diinspirasikan daripada model YZF-R1, serta hadir dengan ciri penunjuk gear dan mempunyai paparan dua mod tunggangan iaitu Track dan Street. Kluster instrumen yang canggih itu seterusnya boleh dihubungkan dengan aplikasi Yamaha Y-Connect.
Spesifikasi menarik lain yang dibekalkan untuk Yamaha YZF-R15 V4 dan Yamaha YZF-R15M adalah seperti fork depan jenis upside-down berwarna emas, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, tongkat sisi dengan suis pemati enjin, dilengkapi dengan dua hon, pengecas USB (optional), dan tangki bahan api dengan kapasiti penuh 11 liter.
Bagi model Yamaha YZF-R15M yang merupakan varian premium, ianya tampil dengan beberapa ciri eksklusif, seperti terdapatnya logo R15M pada tangki bahan api dan top cap engraved, tempat duduk dengan rekaan lebih istimewa, kaliper brek BYBRE tampil dengan warna emas, serta lengan ayun dan pelindung muffler ekzos berwarna kelabu.
Secara keseluruhannya, Yamaha YZF-R15 V4 2021 dan Yamaha YZF-R15M 2021 ialah sebuah model sport bike serba baharu yang telah menerima naik taraf ekstensif apabila dibandingkan dengan model terdahulu Yamaha YZF-R15 V3. Untuk pasaran Malaysia, sama-samalah kita berharap agar HLYM akan melancarkan model ini secepat mungkin.