Haojian V8 150R 2022 ini tampil mirip model Honda CB150R

Model Neo Sports Cafe keluaran Honda iaitu Honda CB150R 2021 tampil dengan reka bentuk yang sporty dan bergaya. Oleh itu tidaklah menghairankan jika model tersebut turut mendapat perhatian daripada syarikat pengeluar motosikal dari negara China, dan hasilnya ialah kemunculan model yang sangat mirip ini iaitu Haojian V8 150R 2022.

Haojian V8 150R ditawarkan dengan enjin bersesaran 150cc, di mana enjinnya tampil dengan konfigurasi satu silinder dan sistem penyejukan jenis udara (air-cooled). Lebih menarik lagi ialah enjin yang digunakan itu berasal daripada jenama Lifan. Namun tiada pula maklumat mengenai jumlah kuasa dan tork yang ditawarkan oleh enjin tersebut.

Spesifikasi menarik lain yang melengkapi Haojian V8 150R ini adalah seperti fork depan jenis terbalik berwarna emas, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, sistem lampu LED, panel meter digital, ekzos pendek yang sporty, tayar depan 110/70-17 dan tayar belakang 140/70-17, dan tiga pilihan warna yang menarik.

Untuk pasaran negara-negara tertentu, Haojian V8 150R ini boleh diimport masuk dan diberikan jenama baharu, sama seperti model-model motosikal dan skuter yang dijual di pasaran Malaysia pada ketika ini. Mungkin inilah pilihan yang lebih berpatutan dan lebih murah jika dibandingkan dengan model asli, namun kualitinya tidak dapat dipastikan.