SYM Sport Rider 125i (N2) 2022 di pasaran Malaysia terima kemaskini warna baharu lebih sporty

Salah sebuah model motosikal kapcai yang ditawarkan oleh SYM Malaysia di pasaran tempatan ialah SYM Sport Rider 125i. Untuk musim 2022, model berkenaan kini tampil dengan skim warna baharu yang lebih sporty dan segar. Harga jualan asasnya menurut sumber daripada laman Facebook dan Mudah.my ialah sebanyak RM 5,862.00 sahaja.

Setakat ini maklumat rasmi mengenai model kapcai sporty ini telah dipaparkan di dalam laman web SYM Malaysia, manakala kedai motosikal @ wakil penjual sah juga didapati telah mengiklankannya di dalam laman Facebook masing-masing. Beralih ke bahagian teknikal, spesifikasi yang ditawarkan untuk 2022 adalah sama seperti model terdahulu.

SYM Sport Rider 125i dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 123cc (air-cooled, 2-valves, SOHC) dengan sistem suntikan bahan api dan kotak gear empat kelajuan jenis berputar, dan menghasilkan kuasa maksimum 8.5PS @ 8,000rpm dengan tork 10.8Nm @ 5,500rpm. Sistem penghidupannya terdiri daripada jenis tendang dan juga elektrik.

Model sporty itu kemudiannya dibekalkan tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter, dengan berat bersih motosikal mencapai 107 kg. Suspensi depannya ialah fork jenis teleskopik, dan digandingkan dengan suspensi belakang jenis berkembar. Untuk membrek dengan lebih selamat, ianya dilengkapi brek depan jenis cakera dan brek belakang jenis dram.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi SYM Sport Rider 125i termasuklah enjinnya yang mematuhi piawaian emisi Euro 3 yang mesra alam serta menjimatkan petrol, paparan meter dengan kombinasi LCD dan analog, lampu belakang LED, ruang penyimpanan di bawah tempat duduk, dan rim aloi yang sporty dengan penggunaan tayar tanpa tiub.