Honda CB150R 2021 di pasaran Thailand, harga bermula dari RM 13,610.04

Di pasaran Thailand, Honda CB150R dalam versi Neo Sports Cafe kini sudah sampai ke model tahun 2021. Ianya berbeza dengan model Honda CB150R Streetfire 2021 yang dilancarkan di pasaran Indonesia pada awal bulan Mei 2021 yang lalu. Yang pasti, sehingga kini kedua-dua model tersebut masih belum dilancarkan di pasaran Malaysia.

Honda CB150R 2021 di pasaran Thailand boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menarik, iaitu Mat Gunpowder Black Metallic dengan kerangka berwarna merah (ABS), Asteroid Black Metallic (Standard) dan Candy Rosy Red (Standard). Harga jualan yang ditawarkan pula bermula dari THB 102,960, bersamaan RM 13,610.04 (kadar semasa).

Di bahagian enjin, ianya bersesaran 149.16cc (single-cylinder, 4-valve, DOHC, liquid-cooled) dengan kelengkapan teknologi PGM-FI, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 16.3PS @ 9,500rpm dengan tork maksimum 13.6Nm @ 8,000rpm. Tangki bahan apinya hadir dalam kapasiti 8.5 liter.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Honda CB150R 2021 termasuklah fork depan USD 41 mm, suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun ringan, sistem brek ABS dengan G-Sensor (untuk varian ABS sahaja), kaliper brek 4 pot baharu jenis radial mount, panel meter digital, sistem lampu LED dan tayar belakang 150 mm yang lebar.