Jentera naked Yamaha MT-07 2022 rasmi diperkenalkan untuk pasaran Eropah dalam bulan November yang lalu, kini tampil dengan tiga pilihan warna iaitu Cyan Storm, Icon Blue dan Tech Black. Ketiga-tiga pilihan warna itu kelihatan sama seperti model tahun 2021, namun ianya dibezakan dengan sentuhan warna Cyan dan jalur grafik baharu.
Menurut Yamaha Motor Europe, semua model dalam siri Yamaha MT untuk tahun 2022 kini telah menerima pilihan warna Cyan di bahagian roda (kecuali model SP), termasuk pada jalur grafik di bahagian ekor dan skup udara. Bagi model berwarna biru, bahagian kepala kini telah berubah kepada warna ungu gelap berbanding warna sebelumnya.
Oleh kerana Yamaha MT-07 berwajah baharu ini baru saja diperkenalkan sekitar bulan November 2020, aspek spesifikasinya setakat ini masih kekal sama dan tiada sebarang perubahan terkini. Model naked tersebut dilengkapi enjin CP2 bersesaran 689cc yang bertaraf Euro 5, menghasilkan 73.4PS @ 9,000rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm.
Di rantau ASEAN, Yamaha MT-07 2021 telah dilancarkan di pasaran Thailand, Filipina dan Singapura pada tahun lepas. Untuk pasaran Malaysia, tidak pasti sama ada model tersebut akan turut dilancarkan, kerana HLYM telah pun menawarkan model Yamaha MT-09 2021 pada November yang lalu, dengan harga jualan asasnya RM 54,998.00.