Model skuter adventure Lifan KPV150 2022 versi off-road kini diperkenalkan di pasaran China, dengan harga CNY 15,280.00, bersamaan RM 10,052.72 mengikut nilai semasa. Di pasaran Malaysia, Lifan KPV150 model tahun 2021 (versi standard) telah ditawarkan sebagai model WMoto Xtreme 150i, dengan harga jualan sebanyak RM 9,588.00.
Lifan KPV150 2022 versi off-road mempunyai tiga naik taraf terbaharu, antaranya ialah handlebar yang lebih selesa dan lebih stabil untuk sesi tunggangan jarak jauh, suspensi depan dan belakang baharu yang boleh dilaraskan, dan tampil dengan rim roda baharu jenis lidi yang lebih kukuh dan lebih berdaya tahan dalam situasi tunggangan ekstrem.
Spesifikasi lain adalah sama, seperti enjin 149.3cc (single-cylinder, water-cooled, four-stroke) dengan sistem suntikan bahan api elektronik, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 12hp (9.0kW) @ 8,500rpm dengan tork puncak 11.8Nm @ 5,500rpm. Skuter dengan berat 143 kg (net weight) itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 11 liter.
Dengan tangki bahan api yang cukup luas, Lifan KPV150 dikatakan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 400 km. Model tersebut juga dilengkapi pelbagai ciri-ciri yang menarik seperti sistem Auto Start-Stop, panel meter digital LCD, dua port pengecasan iaitu USB dan 12V, sistem lampu LED dan windshield dengan ciri boleh dilaraskan.
Selain itu ianya juga dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, sepasang tayar all-terrain depan dan belakang bersaiz 100/80-14 dan 120/70-14, ketinggian tempat duduk 765 mm dan jarak kelegaan bumi 180 mm. Adalah diharapkan Lifan KPV150 2022 versi off-road ini akan turut diperkenalkan di pasaran negara kita.
Sumber : Newmotor.com.cn & Baijiahao.baidu.com