Zontes ZT350-GK 2022 diperkenalkan, enjin 348cc dengan kuasa maksimum 39hp dan tork puncak 32.8Nm

Zontes merupakan jenama pengeluar motosikal yang berasal dari negara China. Untuk pasaran Malaysia, Zontes menawarkan pelbagai model-model menarik seperti Zontes ZT310X1, ZT310R1, ZT310V dan ZT310T1. Paling terkini yang dilancarkan baru-baru ini ialah tiga model dalam kelas 155cc iaitu ZT155G, ZT155U dan juga ZT155U1.

Pada masa akan datang, dijangkakan sebuah lagi model terbaharu keluaran syarikat tersebut bakal dilancarkan di pasaran Malaysia. Model berkenaan ialah Zontes ZT350-GK 2022, yang baru saja membuat kemunculan di peringkat antarabangsa baru-baru ini di pameran motosikal EICMA 2021, yang berlangsung dari 25 – 28 November 2021.

Zontes ZT350-GK menampilkan reka bentuk bergaya scrambler, dan ianya juga boleh dikatakan sebagai sebuah model cafe racer dengan sentuhan retro yang serba moden. Untuk peminat ZT155G yang mahukan sebuah model dengan enjin yang lebih besar dan lebih berkuasa, mungkin ianya merupakan salah satu pilihan yang bersesuaian.

Di bahagian enjin, Zontes ZT350-GK dikuasakan enjin yang bersesaran 348cc (single cylinder, water cooled, DOHC) dengan transmisi 6 kelajuan dan slipper clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai paras 39hp @ 9,500rpm dengan tork puncak 32.8Nm @ 7,500rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 17 liter.

Pelbagai ciri-ciri menarik dan serba lengkap ditawarkan melalui model terbaharu Zontes ZT350-GK ini, antaranya sistem kunci keyless canggih, butang elektrik pelbagai fungsi (electric fuel tank caps, electric seat locks, electric head locks), dua mod tunggangan E (fuel saving mode) dan S (sports mode), dan panel meter TFT berwarna sepenuhnya.

Selain itu ianya juga dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, pengecas USB pantas dengan dua output, fork depan USD 43 mm, suspensi belakang mono dengan nitrogen, tempat duduk yang selesa, sistem brek ABS dual-channel, lengan ayun aluminium, paip ekzos yang sporty, sistem pemantauan tekanan tayar, serta pilihan rim aloi dan rim lidi.

Sebagai sebuah motosikal yang moden dan canggih, Zontes ZT350-GK turut dilengkapi sistem sambungan ke telefon pintar, untuk pelbagai operasi seperti navigasi, panggilan telefon, muzik dan sebagainya. Untuk pasaran China, harga jualannya ialah sebanyak CNY 22,800, iaitu bersamaan RM 15,077.61, yang boleh dikatakan sangat berpatutan.